TIDAK semua pertubuhan bukan kerajaan berkaitan dengan Islam sependapat berhubung perhimpunan 8 Disember yang akan digerakkan PAS dan Umno.
Ada yang berpendapat, perhimpunan berkenaan perlu dielakkan kerana bimbang isu perkauman akan berlarutan ekoran kejadian rusuhan awal minggu ini berhubung masalah pemindahan satu kuil.
Tetapi ada juga yang tetap berpendirian “Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)” itu perlu diteruskan.
Mereka berpandangan, ia tiada kena mengena dengan siri rusuhan yang berlaku sejak dinihari Isnin lalu kerana perhimpunan tersebut dirancang sejak awal.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad menegaskan “Himpunan Bantah ICERD” wajar diteruskan untuk menjelaskan mengenai konvensyen itu.
“Kita memang sudah rancang sebelum isu kuil ini timbul. Jadi tiada kena mengena (dengan perhimpunan membantah ICERD).
“Kita teruskan kerana kita hendak mendidik, memberi kefahaman kepada semua masyarakat sama ada yang bersetuju atau tidak bersetuju.
“Kalau kita tolak atau terima tetapi tidak faham, tidak jadi juga. Kita hendak beritahu kenapa umat Islam sangat tidak mahu ICERD ini. Kalau kita terima apa implikasinya kepada agama kita,” katanya.
Penganjur, Gerakan Pembela Ummah tetap ingin meneruskan perhimpunan itu walau kerajaan memutuskan untuk tidak meratifikasi ICERD selepas mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.
Menurut penganjur, perhimpunan berkenaan bukan lagi untuk membantah tetapi meraikan kejayaan kerana kerajaan tidak jadi meratifikasi ICERD.

Turut sependapat adalah Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Zahid Mahmood yang menegaskan himpunan adalah untuk menunjukkan perpaduan umat.
Jelasnya, ia akan memberi mesej kepada pihak tertentu yang cuba mempertikaikan kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang-orang Melayu.
“Apabila kedudukan orang Melayu Islam ini dipertikaikan, kita berkumpul bukan hendak tunjuk hebat. Kita hendak tunjukkan kita boleh bersatu atas nama Islam. Kita hendak tunjuk Islam itu adalah satu,” katanya.
Bagaimanapun, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berpendapat himpunan tersebut tidak wajar diteruskan bagi mengelakkan ketegangan kaum.
“Himpunan ICERD ini memanglah kita hendak mempertahankan keistimewaan orang Melayu, kedudukan Islam dan sebagainya. Kebetulan berlaku peristiwa kuil ini,” katanya.
Malah, sentimen kaum yang timbul ekoran kejadian rusuhan itu juga masih berpanjangan dan beliau bimbang perhimpunan tersebut akan membuatkan masalah tersebut berpanjangan.
“Walaupun bukan isu perkauman, semua orang faham sentimen perkauman dalam isu kuil ini masih kuat. Mahkamah pula tadi menolak rayuan mereka. Saya kira ini akan menambah lagi kehangatan isu ini.
“Saya berpandangan adalah lebih baik supaya kita elakkan himpunan yang sifatnya ada kepentingan kaum,” katanya.
Pandangan sama disuarakan pemimpin Ikram, Zulfakar Ramlee yang berkata ia tidak perlu lagi diadakan kerana keerajaan sudah beberapa kali menegaskan tidak akan meratifikasikan ICERD.
“Jadi tujuan himpunan untuk bantah itu tidak lagi wujud tetapi kalau hendak berhimpun sebab lain, itu lain ceritalah.
“Kita tidak mahu ada pihak yang ambil kesempatan membakar semangat perkauman dan agama hingga menimbulkan ketegangan,” kata ahli dewan perwakilan nasional Ikram itu. – 2 Disember, 2018.
Komen