Peniaga di Maha 2018 merungut sewa mahal, tak balik modal


Nabihah Hamid

Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa yang bermula 25 November hingga 2 Disember mensasarkan kehadiran 3.5 juta pengunjung tetapi ada pihak mengatakan ia jumlah itu jauh tersasar. – Gambar Facebook Maha 2018, 1 Disember, 2018.

PENIAGA makanan di pameran Maha 2018 merungut kerana meraih hasil jualan rendah walau terpaksa menanggung kadar sewa sekali ganda lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Peniaga berkenaan memberitahu The Malaysian Insight, hasil jualan amat sedikit kerana terpaksa bersaing dengan lebih ramai peniaga tahun ini – seramai kira-kira 100 orang.

Maha atau Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa itu berlangsung selama 11 hari namun masih ada peniaga yang belum balik modal pada hari ketiga pameran.

Kalangan peniaga itu juga memberitahu, terdapat pengusaha yang menutup perniagaan pada hari kelima kerana sambutan dingin daripada pengunjung.

Seorang peniaga yang ditemui The Malaysian Insight adalah pengusaha murtabak berkeju Muhamad Najib Mustaffa yang kesal kerana suasana pameran kali ini tidak semeriah dahulu. 

Pameran Maha bermula 25 November hingga 2 Disember itu mensasarkan kehadiran 3.5 juta pengunjung tetapi menurut Najib, sasaran itu jauh menyimpang.

“Peniaga terlalu banyak dan dekat pintu-pintu masuk pun dah ada peniaga makanan. Nama saja Empayar Makanan tapi pengunjungnya kurang,” katanya.

Vendor terlampau ramai

Empayar Makanan itu merupakan ruang khas berhawa dingin menempatkan kesemua peniaga makanan berkenaan.

Farid Wachaa berkata penganjur sepatutnya lebih prihatin dengan mengehadkan jumlah peniaga lebih kecil. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Disember, 2018.

Untuk berniaga di ruang itu mereka perlu membayar sewa RM3,000, namun kos sebenar adalah lebih tinggi, katanya.

“Kita nampak sahaja macam ini tapi modal dekat RM40,000. Kalau tak dapat pulangan modal balik boleh pengsan. 

“Sewa dulu RM1,500 satu tapak tapi kali ini RM3,000,” katanya yang menyertai pameran itu untuk kali ketiga pada tahun ini.

Seorang lagi peniaga, Farid Wachaa berkata, kerajaan sepatutnya lebih prihatin dengan mengehadkan jumlah peniaga lebih kecil.

“Tidak salah untuk sediakan vendor yang terlampau ramai tetapi perlulah dengan kawasan yang strategik. Tapak juga sangat kecil sebab peniaga akan letak barang-barang yang banyak. Sudahlah tapak kecil, sewa dua kali ganda. 

“Pihak penganjur perlu lebih prihatin dan pastikan kawasan peniaga diletakkan di tempat yang strategik,” kata peniaga air mangga dari Johor Bahru itu. 

Seorag lagi peniaga Aniqq Mohamad Tap yang berniaga dengan sebuah trak juga kecewa kerana kawasan mereka tidak menjadi tumpuan pengunjung.

Hasil jualannya merosot 50%, beliau berpendapat ia akan lebih meningkat jika pengangkutan bas yang membawa pengunjung lebih cekap.

“Orang ramai tapi ada tak lalu kawasan kami. Bas juga lambat. Saya meniaga masih okay tetapi tidak macam Maha yang dulu,” kata peniaga makanan barat itu. 

Perkara sama diakui peniaga nasi beriyani Noridah Mohd Sidek yang mencadangkan pameran Maha selepas ini dilanjutkan sehingga 10 malam. 

“Orang penuh pada Sabtu Ahad tetapi waktu lain orang bekerja. Kalau pameran habis jam 7 petang mereka tak mahu datang. Kita meniaga sampai pukul 10 malam pun tiada orang,” katanya lagi. 

Kemudahan tambahan

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi (COO) Maeps Norafizah Rahman berkata kenaikan harga sewa dua kali ganda adalah untuk menanggung kos tambahan bagi kemudahan tambahan disediakan di dalam dewan selain peralatan gerai yang standard. 

Aniqq Mohamad Tap kecewa kerana kawasan yang dikhaskan untuk peniaga foodtruck tidak menjadi tumpuan pengunjung Maha 2018. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Disember, 2018.

“Kita naikkan kadar sewa untuk tambah kepada kos kemudahan yang kami sediakan seperti meja gerai, kemudahan tempat duduk, khidmat pungutan sampah dan tandas. 

“Kalau tengok gerai semuanya sama, kita tidak mahu macam gerai pasar malam. (Kita mahu) nampak kualiti. 

“Duit sewa juga digunakan untuk tampung kos promosi dan iklan memandangkan tahun ini peruntukan publisiti hanyalah separuh berbanding dahulu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Mengulas mengenai lambakan peniaga, Nora mengakui berlaku pertindihan menu di kalangan peniaga selain cabaran membanteras peniaga haram tidak berlesen.

“Saya akui kita ambil ramai peniaga kali ini dan tidak terkawal. Keseluruhan foodtruck sahaja (berjumlah) 120 peniaga, itu tidak termasuk gerai kecil. 

“Di kawasan Empayar Makanan kalau dulu hanya 60 peniaga tetapi kali ini hampir 100. Untuk masa akan datang, pihak kami janji akan lebih susun peniaga dengan strategik. 

“Kita juga kena pastikan tiada pertindihan menu berlaku,” katanya lagi. 

Selain itu, penguatkuasa Majlis Perbandaran Sepang juga bertindak ke atas peniaga haram di perkarangan jalan supaya tidak menjejaskan hasil peniaga yang menyewa tapak pameran, katanya.

“Mereka tiada lesen dan jual di tepi-tepi jalan. Kita ada bekerjasama MPS untuk mengawal keharmonian dan ketenteraman. Hari-hari kita pantau untuk banteras peniaga haram,” katanya. – 1 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen