JABATAN Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat meminta Pentagon melanjutkan penempatan tentera ke sempadan AS-Mexico hingga tahun depan.
Kira-kira 5,600 tentera aktif kini membantu ejen sempadan sebagai sebahagian daripada misi kontroversi yang diarahkan Presiden Donald Trump menjelang pilihan raya pertengahan pada November.
Kerahan anggota di sempadan itu sepatutnya ditamatkan pada 15 Disember, tetapi kerana “ancaman berterusan” ia kini mungkin dilanjutkan sehingga 31 Januari, kata jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Katie Waldman dalam satu kenyataan.
“Permintaan ini memastikan sokongan selaras dengan keadaan semasa, sifat misi, dan keperluan operasi CBP,” katanya.
Jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Jamie Davis berkata, Jabatan Pertahanan masih mengkaji semula permintaan itu dan masih belum memberi respons terhadap DHS.
Sebagai tambahan kepada 5,600 tentera, sebanyak 2,100 atau lebih Pengawal Kebangsaan dikerahkan untuk menyokong operasi di sempadan.
Misi mereka adalah untuk membantu ejen sempadan yang berurusan dengan ketibaan kumpulan besar pendatang.
Pengkritik menggesa arahan kerahan itu sebagai langkah politik, yang dibuat beberapa hari menjelang pilihan raya 6 November.
Di kota Mexico, Tijuana, merentasi sempadan dari San Diego di California, lebih 6,000 pendatang berkhemah di sempadan dengan harapan dapat memohon suaka, atau menyelinap masuk ke AS bagi beberapa kes, untuk melarikan diri kemiskinan dan keganasan di negara asal mereka. – AFP, 1 Disember, 2018.
Komen