PIHAK berkuasa tempatan di kawasan kejiranan Washington memilih untuk menamakan semula jalan di luar kedutaan Arab Saudi sebagai penghormatan terhadap wartawan dibunuh, Jamal Khashoggi.
Sekiranya diluluskan oleh majlis perbandaran, ia akan menamakan semula jalan di mana terletaknya bangunan kedutaan besar Arab Saudi sebagai “Jalan Jamal Khashoggi.”
Khashoggi, penduduk Amerika Syarikat (AS), dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada Oktober.
Selepas pada awalnya menafikan pembunuhan itu, Arab Saudi mengakui Khashoggi terbunuh di dalam konsulat tetapi menyalahkan kematiannya kepada operasi “penyangak”.
Para pegawai tertinggi daripada pentadbiran Presiden Donald Trump mengatakan mereka tidak melihat bukti langsung yang mengaitkan pembunuhan itu kepada Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman, tetapi CIA dilaporkan menemui kaitannya.
Menurut CNN, idea mengubah nama jalan bermula kira-kira sebulan lalu susulan petisyen dalam talian.
“Kami mencadangkan untuk menamakan semula alamat jalan Kedutaan Arab Saudi kepada ‘Jalan Jamal Khashoggi’ bagi menjadi peringatan harian kepada pegawai Arab Saudi yang pembunuhan seperti itu ‘tidak dapat diterima sepenuhnya dan sebagai ungkapan sokongan Washington terhadap kebebasan akhbar,” kata petisyen itu.
Tindakan yang sama diambil di luar kedutaan Rusia, apabila menamakan semula jalan sebagai penghormatan kepada pengkritik Vladimir Putin, Boris Nemtsov, yang dibunuh di Moscow pada 2015. – AFP, 1 Disember, 2018.
Komen