PESALAH seks yang sedang menjalani parol kini akan dikesan menerusi gelang kaki elektronik selepas kerajaan negeri New South Wales (NSW) di Australia memperkenal beberapa langkah baharu yang ketat pada Jumaat dalam usaha untuk “menjadikan komuniti lebih selamat,” lapor agensi berita China Xinhua.
“Semua pergerakan pesalah seks akan pantau rapat oleh cawangan perisikan dan keselamatan Perkhidmatan Korektif NSW,” kata Menteri Pemulihan NSW, David Elliott.
Selain pemantauan 24 jam, di bawah langkah baharu itu, pihak berkuasa akan memiliki lebih banyak kuasa untuk memperketat peraturan ke atas “tingkah laku, perumahan, pergerakan, komunikasi, pekerjaan dan aspek lain dalam hidup” pesalah.
Jika berlaku sebarang pelanggaran, Pihak Berkuasa Parol Negeri akan dimaklumkan serta-merta dan ditugaskan untuk membatalkan parol serta menghantar pesalah kembali ke penjara.
Aspek lain peraturan baharu itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara agensi, dengan Jabatan Perkhidmatan Korektif dan Pasukan Polis NSW siap siaga untuk melaksanakan perkongsian maklumat dan strategi komunikasi yang lebih baik apabila membabitkan pesalah seks berbahaya.
“Kesemua perubahan ini mempertingkat dan memperkukuh pengurusan kita ke atas pesalah seks dan menghantar isyarat jelas bahawa perlindungan komuniti adalah keutamaan kami,” kata Pesuruhjaya Perkhidmatan Korektif NSW, Peter Severin. – Bernama, 30 November, 2018.
Komen