1.5 juta kanak-kanak di Afrika Tengah perlu bantuan, kata PBB 


Dua kanak-kanak sedang bermain di khemah Unicef di Republik Afrika Tengah. Kira-kira 1.5 juta kanak-kanak di negara terbabit memerlukan bantuan. – Gambar EPA, 30 November, 2018

DUA pertiga daripada seluruh kanak-kanak di Republik Afrika Tengah perlu bantuan kecemasan, kata Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat yang menyatakan kebimbangan berhubung krisis yang “diabaikan” semakin memuncak di negara miskin.

Kira-kira 1.5 juta kanak-kanak di seluruh negara berkenaan memerlukan bantuan kemanusiaan, yang mana ia mencatatkan peningkatan 300,000 orang berbanding 2016, menurut Unicef dalam laporan terbarunya.

Wakil utama agensi berkenaan di negara itu, Christine Muhigana, memberitahu pemberita di Geneva yang situasi di negra berkenaan “semakin meruncing” bernading ketika konflik sektarian pada 2013.

Pada tahun itu, pemimpin Francois Bozize, yang beragama Kristian, digulingkan oleh pemberontak yang digelar Seleka.

Kebanyakan kawasan di negara berkenaan kini dikawal oleh kumpulan militan.

“Apa yang kita cuba lakukan di bawah keadaan luar biasa ini ialah untuk memastikan kanak-kanak ini hidup,” kata Muhigana.

Selain mereka yang memerlukan bantuan, Unicef mengatakan satu dari empat kanak-kanak sama ada dipindahkan di dalam negeri atau melarikan diri dari negara itu sebagai pelarian.

Memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan juga menjadi semakin sukar kerana serangan terhadap pekerja bantuan di negara terbabit meningkat empat kali ganda tahun ini. – AFP, 30 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen