6 cedera selepas roda pesawat Vietjet rosak ketika mendarat 


Pesawat penerbangan 207 Vietjet mengalami masalah roda ketika mendarat di Ho Chi Minh pada Jumaat.– Gambar Youtube, 30 November, 2018

ENAM cedera selepas roda pesawat Airbus Vietjet yang baru diterima tercabut ketika pesawat berkenaan mendarat di tengah Vietnam, kata pihak berkuasa pada Jumaat.

Insiden itu berlaku ketika industri penerbangan Asia Tenggara dalam pemerhatian berikutan nahas pesawat Lion Air di Indonesia yang dikatakan berpunca daripada masalah teknikal yang gagal dikesan pada pesawat Boeing 737 terbabit.

Seperti Indonesia, industri penerbangan Vietnam berkembang pesat sejak beberapa tahun lalu dengan syarikat pengangkutan tambang murah seperti Vietjet membeli pesawat dan menambah laluan penerbangan domestik dan antarabangsa.

Pada petang Khamis, pesawat terbabit mengalami kerosakan pada roda hadapan ketika membuat pendaratan dalam penerbangan dari Buon Ma Thuor ke Ho Chi Minh, menurut kementerian pengangkutan negara itu.

Pesawat terbabit “mengalami masalah serius ketika mendarat, yang mana dua roda hadapannya tercabut,” menurut laporan yang ditulis menteri kepada perdana menteri negara itu yang dilihat AFP.

Penumpang penerbangan 207 itu dipindahkan dengan selamat naun enam daripada mereka dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan, kata pihak berkuasa penerbangan Vietnam. – AFP, 30 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen