POLIS Bangladesh menahan 10 orang pelarian Rohingya ketika cuba menaiki bot untuk ke Malaysia, kata seorang pegawai pada Jumaat.
Tenggara Bangladesh menjadi tempat tinggal kepada kira-kira sejuta etnik Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar berikutan keganasan tentera dan kini ditempatkan di kem pelarian.
Terdapat kebimbangan yang mana pelarian mengambil kesempatan ketika cuaca tenang untuk lari ke negara yang lebih maju menggunakan bot dengan membayar penyeludup.
Pasukan elit Bangladesh, Rapid Action Battalion (RAB) berkata pihaknya berjaya menghalang enam wanita muda dan empat lelaki di Shah Porir Dwip sebuah pangkalan di perairan berkenaan pada Khamis malam sebelum mereka menaiki bot di sungai Naf yang memisahkan Bangladesh dan Myanmar.
“Mereka mahu menuju ke Malaysia menerusi Teluk Bengal. Wanita yang ditahan tidak melebihi 22 tahun. Mereka cuba untuk mengahwini lelaki yang lebih baik di Malaysia,” kata ketua RAB Cox’s Bazar Mahedi Hasan kepada AFP.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penyeludup manusia membawa puluhan ribu etnik Rohingya ke Malaysia sebelum Bangladesh melancarkan operasi terhadap mereka pada 2015 selepas pihak berkuasa Thailand menemui kubur besar dan bot yang membawa ramai pelarian berkenaan hanyut di laut.
Hasan berkata, wanita terlibat membayar $100 kepada penyeludup dan lelaki membayar hampir $250. Setiap seorang daripada mereka sepatutnya membayar baki 200,000 taka (hampir $2,500) sebaik sahaja bot mereka melepasi perairan Thailand.
Penyeludup warga Bangladesh turut ditahan, tambahnya.
Awal bulan ini, pengawal pantai Bangladesh berjaya memintas bot di Teluk Bengal yang membawa 33 etnik Rohingya ke Malaysia. – AFP, 30 November, 2018
Komen