MAHKAMAH Pilihan Raya hari ini mengisytiharkan kerusi Parlimen Cameron Highlands kosong selepas mendapati Ahli Parlimen C Sivarraajh dari Barisan Nasional bersalah memberikan suapan kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Hakim Azizah Nawawi mengatakan bahawa wujud “pola pemberian wang kepada pengundi sepanjang tempoh sebelum pilihan raya” dan beberapa salah laku terbukti.
Proses aktiviti rasuah itu dikatakan telah dibuat semasa mesyuarat pada 28 April dan 3, 6, 7, 8 dan 9 Mei tahun ini seperti yang didakwa pemohon petisyen M. Manogaran- calon DAP untuk Cameron Highlands.
Dalam petisyennya yang difailkan pada 4 Jun, Manogaran menamakan Sivarraajh, yang juga naib presiden MIC, sebagai responden tunggal.
Beliau mendakwa Sivarraajh berkempen bersama Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan telah memberi rasuah antara RM30 dan RM1,000 kepada masyarakat orang asli melalui ketua kampung (batin) untuk memastikan mereka mengundi calon BN dalam pilihan raya yang menyaksikan pertandingan penjuru.
Sivarrajh kelihatan tenang ketika Azura membacakan penghakimannya, yang mengambil hampir setengah jam untuk dibacakan. Para penyokong DAP bersorak ketika Azura membaca kata “tidak sah”.
Dalam tindak balas segera, Sivarrajh berkata beliau akan merayu keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan, yang mesti dibuat dalam masa 14 hari. Beliau bagaimanapun, tidak mengadakan sidang akhbar.
SPR tidak dinamakan sebagai responden dalam petisyen ini.
“Saya rasa jelas,” kata Manogaran kepada wartawan di luar bilik sidang. “Saya amat berterima kasih kepada masyarakat Orang Asli, yang memberikan bukti. Kami telah ambil kenyataan daripada 200 orang asli dan sepanjang perbicaraan banyak yang datang untuk memberi keterangan dan kami bersyukur kepada mereka.
“Saya pasti kita semua akan menghadapi pilihan raya kecil dan memastikan kemenangan di adil dan saksama,” katanya.
Lim Kit Siang, yang duduk di galeri awam bersama Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen DAP, M Kulasegaran, berkata, “Ini adalah satu tanda bahawa kita bergerak ke Malaysia yang baharu, di mana hal yang tidak adil dapat ditangani.”
“Pada masa lalu tidak akan ada harapan untuk keadilan di mahkamah.”
Peguam V. Manokaran bertindak mewakili Manogaran manakala Mohd Hafarizam Harun mewakili Sivarraajh.
Semasa perbicaraan, Sivarraajh menafikan memberi wang atau merasuah ketua orang asli untuk memujuk mereka mengundi beliau dalam pilihan raya.
Katanya, walaupun beliau memberi wang, ia adalah atas permintaan ketua bagi manfaat orang asli dan kampung mereka.
Dalam PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan jumlah 10,307 undi sekaligus mengalahkan empat calon lain. – 30 November, 2018.
Komen