PENDUDUK di pulau-pulau berterumbu karang di pesisir pantai Jakarta memulakan kempen memerangi sampah di kawasan pantainya.
Usaha pembersihan itu menyaksikan 40 tan sampah dikumpulkan setiap hari sepanjang minggu lalu, kata seorang pegawai.
Pihak berkuasa Indonesia mengerahkan pasukan tentera dan armada kapal untuk membantu membersihkan kawasan hutan yang dipenuhi sampah dan perairan sekitarnya, yang kini dianggap pusat sisa laut Asia Tenggara.
Kepulauan itu adalah penyumbang sisa laut kedua terbesar selepas China, menghasilkan kira-kira 1.29 juta tan metrik setahun.
Operasi pembersihan minggu ini berpusat di kawasan yang dikenali sebagai Kepulauan Seribu, satu kawasan peranginan yang mengambil masa sehari dari ibu kota yang sering kesesakan lalu lintas.
Penduduk di pulau itu melaporkan penyu ditemui mati di kawasan itu, bagaimanapun Yusen Hardiman, ketua jabatan alam sekitar di rantau itu, mengatakan masih belum dapat disahkan apakah haiwan itu mati akibat memakan sampah.
Paus sperma ditemui mati minggu lepas di sebuah taman laut di pulau Sulawesi dengan 115 cawan plastik dan 25 beg plastik ditemui di dalam perutnya.
Masalah sisa laut Indonesia menjadi semakin buruk sehingga pihak berkuasa tahun lalu mengisytiharkan “darurat sampah” setelah perairan di Bali dibanjiri sampah. – AFP, 30 November, 2018.
Komen