Diugut saman RM10 juta, NUJ Utusan tidak akan minta maaf


Zaim Ibrahim

Jurucakap kesatuan itu menegaskan isu mereka adalah dengan pengurusan Utusan, bukan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Media House Entertainment (MHE), Zaienal Abidin Omar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2018.

KESATUAN Wartawan Kebangsaan cawangan Utusan Melayu (NUJ- Utusan) tidak akan meminta maaf biarpun diugut saman RM10 juta oleh Ketua Pegawai Eksekutif Media House Entertainment (MHE), Zaienal Abidin Omar.

Jurucakap NUJ Utusan berkata, mereka tidak bertelagah dengan Zaienal sebaliknya hanya mempersoalkan kaitan syarikat dengan MHE.

“Niat kami bukan nak menyerang atau bermusuh dengan dia (Zaienal Abidin). Niat kami adalah mempersoalkan keputusan syarikat,” kata jurucakap yang enggan dinamakan itu kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, NUJ mencurigai kedudukan MHE yang difahamkan bukan anak syarikat Utusan tetapi menerbitkan beberapa produk utama syarikat dengan menggunakan khidmat kakitangan Utusan.

MHE yang dilancarkan akhir Oktober lalu sebagai hub penerbitan berita hiburan dan gaya hidup, merangkumi jenama terkenal Utusan iaitu sisipan Pancaindera, majalah URTV dan Wanita. Ia juga mengendalikan portal web multimedia MHETV.

“Kami difahamkan MHE bukan anak syarikat Utusan tetapi menggunakan kakitangan, ruang pejabat, dan perabut daripada Utusan. 

“Adakah ia mampu membawa keuntungan kepada Utusan? Mengapa Utusan yang membayar gaji kepada mereka?” soal beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight, hari ini.

Jurucakap NUJ Utusan itu diminta mengulas notis tuntutan permohonan maaf yang dihantar oleh Zaienal kepada mereka bertarikh 27 November.

Zaienal antara lain meminta NUJ Utusan meminta maaf secara terbuka kepadanya, atau berdepan tindakan saman RM10 juta.

CEO MHE itu mendakwa NUJ Utusan menuduh beliau penipu dan penyangak di akaun Facebook milik kesatuan. Tulisan itu bagaimanapun sudah dipadam.

Menurut jurucakap NUJ Utusan, kesatuan mempersoalkan hubungan Utusan dengan MHE kerana syarikat diketahui menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa memberhentikan lebih kurang 800 kakitangan.

Kesatuan juga menuntut Pengerusi Eksekutif Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir menjelaskan hubung kait Utusan dengan MHE.

“NUJ tidak akan minta maaf, kita hanya bersoal jawab dengan Pengerusi Utusan bukan dengan Zaienal Abidin,” jelas beliau. 

Sementara itu, mengulas pelaksanaan skim pemberhentian sukarela (VSS) berkuat kuasa hari ini, jurucakap itu mengesahkan pihaknya diminta mengemukakan dua nama untuk jadi ahli jawatankuasa pemegang amanah.

Hampir 800 kakitan Utusan pelbagai peringkat yang mengambil VSS menamatkan perkhidmatan mereka hari ini.

Jawatankuasa pemegang amanah yang diluluskan Lembaga Pengarah Utusan berperanan memantau urusan pembayaran pampasan VSS yang dibuat secara berperingkat sehingga 12 bulan.

“Jawatankuasa itu mempunyai sembilan ahli terdiri antaranya daripada kesatuan-kesatuan sekerja Utusan yang ahlinya mengambil VSS,” tambah beliau.

Serentak dengan pelaksanaan VSS, Utusan menutup semua pejabat bironya di seluruh Malaysia berkuat kuasa esok. 

Syarikat milik Umno itu turut menghentikan operasi kilangnya di Gong Badak, Terengganu sebagai antara langkah penyusunan semula kedudukan kewangannya. – 30 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen