Speaker enggan campur tangan siasatan dakwaan ubah laporan audit 1MDB


Asila Jalil

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menyerahkan dakwaan pengubahan laporan audit 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2018.

SPEAKER Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata beliau tidak akan campur tangan dalam siasatan terhadap dakwaan mengubah laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Beliau merujuk kepada gesaan veteran DAP Lim Kit Siang agar Najib untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, yang dipengerusikan oleh Ariff, berhubung dakwaan itu.

“Sebagai speaker, saya tidak mengganggu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“(PAC) mempunyai hak mengenai apa yang akan dipertimbangkan. Begitulah sistem berfungsi. Jika tidak, ia akan menjadi tidak terurus,” katanya di luar meja bulat mengenai pembaharuan pilihan raya di bangunan Parlimen hari ini.

Isnin lalu, Lim menggesa Parlimen merujuk Najib ke jawatankuasa tersebut susulan Ketua Audit Negara Madinah Mohamad pada Ahad lepas mengumumkan yang bekas perdana menteri itu mengarahkan supaya beberapa bahagian laporan audit dipinda.

Antara pindaan tersebut ialah pengguguran beberapa perenggan berkenaan penyata kewangan 2014 1MDB dan perenggan mengenai kehadiran Low Taek Jho hadir pada mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Sementara itu, Ariff juga berkata Jawatankuasa Pilihan Khas meneliti pelantikan pegawai kerajaan dan hanya sebuah badan pemantau bagi lantikan hakim.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan iaitu calon hakim perlu mendapat kelulusan Parlimen sebelum nama mereka dikemukakan kepada Agong. – 30 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen