PUTRAJAYA sepatutnya mempertimbangkan pembayaran 40% hasil Sabah secara berperingkat sekiranya kedudukan kewangannya tidak mengizinkan ia membayar sekali gus, kata Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata Sabah sedar mengenai keadaan kewangan kerajaan persekutuan tetapi mengingatkan Putrajaya tidak seharusnya mengambil masa terlalu lama untuk menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Putrajaya juga perlu memahami Sabah juga perlu membayar hutangnya sendiri.
“Mungkin tidak perlu membayar seluruh jumlah sekaligus. Tetapi pembayaran secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan pembayaran dividen daripada Perbadanan Kredit Sabah hari ini.
Shafie berkata demikian susulan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang Putrajaya mahu memberi Sabah 40% hasilnya selaras dengan MA63 tetapi tidak mempunyai wang mencukupi untuk berbuat demikian.
Kenyataan Lim mendapat pelbagai reaksi termasuk Institut Kajian Pembangunan (IDS) yang mengatakan kerajaan persekutuan tidak sepatutnya ingkar membayar kerana ia akan menjadi pelanggaran Perlembagaan.
Shafie berkata beliau akan berunding dengan IDS dan akan membangkitkan perkara itu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk kemungkinan semakan. – 30 November, 2018.
Komen