LGBT di Indonesia dikenakan denda kerana ganggu ketenteraman awam


Homoseksual tidak menyalahi undang-undang di Indonesia - kecuali di wilayah Aceh yang mengamalkan undang-undang Islam - tetapi kecaman terhadap komuniti itu semakin meningkat beberapa tahun kebelakangan ini. – Gambar EPA, 30 November, 2018.

SEBUAH bandar di Indonesia merancang mengenakan denda sebanyak 1 juta rupiah (AS$70) kepada golongan gay dan transgender kerana mengganggu “ketenteraman awam”, menandakan peningkatan ketara diskriminasi terhadap komuniti kecil LGBT di negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam.

Mempunyai penduduk seramai 260 juta berada dalam keadaan panik moral, dengan para pengkritik mengatakan minoriti LGBT menjadi sasaran politik menjelang pilihan raya 2019.

Homoseksual tidak menyalahi undang-undang di Indonesia - kecuali di wilayah Aceh yang mengamalkan undang-undang Islam - tetapi kecaman terhadap komuniti itu semakin meningkat beberapa tahun kebelakangan ini.

Peralihan itu, yang diketuai oleh golongan tegar agama yang semakin kuat, mencemarkan reputasi Indonesia sebagai negara Islam yang sederhana.

Minggu ini, bandar Pariaman di pulau Sumatera meluluskan peraturan melarang “perbuatan yang dianggap LGBT”.

Peraturan yang dilihat oleh AFP, melarang “perbuatan tidak bermoral” di antara pasangan sesama jenis dan melarang penduduknya daripada “berlagak seperti pondan”, tetapi ia hanya memberi contoh konkrit yang sedikit mengenai tingkah laku yang dilarang.

“LGBT dan transgender akan tertakluk kepada sekatan dan denda jika mereka mengganggu ketenteraman awam,” kata Fitri Nora, ketua perundangan setempat.

Timbalan Datuk Bandar Pariaman, Mardison Mahyudin berkata peraturan baru itu diwujudkan susulan “kebimbangan” mengenai komuniti LGBT di Indonesia.

Demonstrasi anti-LGBT meletus di beberapa kota baru-baru ini, termasuk Jakarta, ketika pihak berkuasa memandikan sekumpulan transgender yang dianggap sebagai “mandi wajib”.

Beberapa bandar di wilayah Sumatera Barat, termasuk Pariaman, mengambil langkah meminggirkan kumpulan LGBT, dan kerajaan wilayah mengadakan mesyuarat khas pada Khamis untuk membincangkan isu tersebut.

Berikutan pertemuan itu, Gabenor Irwan Prayitno berkata para pegawai dan pihak berkenaan sedang mencari penyelesaian untuk masalah “LGBT”.

“Sekurang-kurangnya, kami cuba menghalang populasinya daripada meningkat,” kata Prayitno kepada AFP. – AFP, 30 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen