PARLIMEN Perancis mengundi pada Jumaat memihak kepada larangan ibu bapa memukul anak, amalan yang walaupun dikutuk oleh PBB masih mendapat sokongan meluas di negara ini.
Rang undang-undang mengenai “hukuman mendera atau memalukan” bertujuan untuk memastikan kuasa ibu bapa dijalankan “tanpa kekerasan”, termasuk keganasan “fizikal, lisan atau psikologi”.
Ahli Parlimen mengundi 51-1 awal pagi Jumaat, selepas perbahasan lewat malam, dan ia diserahkan kepada Senat.
Percubaan kerajaan terdahulu untuk mengharamkan amalan itu ditentang golongan konservatif.
Rang undang-undang mengecam amalan memukul anak yang dibentangkan pada 2016 ditolak oleh Majlis Perlembagaan kerana ia diguna pakai dalam bentuk pindaan kepada undang-undang yang tidak berkaitan.
Menurut laporan pertubuhan bukan kerajaan Yayasan Kanak-Kanak, sebanyak 85% ibu bapa di Perancis sering mengenakan hukuman keras terhadap anak mereka.
Sekolah telah lama dilarang menghukum kanak-kanak secara fizikal, tetapi bukan ibu bapa.
Secara rasminya, rang undang-undang tidak akan membenarkan ibu bapa yang terus “mendisiplinkan” anak mereka dengan matlamat utamanya adalah “pendidikan” - satu cara menggalakkan masyarakat memperbaiki pandangannya, menurut Maud Petit, ahli Parlimen yang membawa langkah itu.
Ia juga akan menjadikan Perancis selari dengan undang-undang antarabangsa.
Pada Mac 2015, organisasi hak asasi manusia Majlis Eropah membangkitkan kegagalan Perancis mengharamkan amalan memukul, tidak seperti negara Eropah yang lain.
Setahun kemudian, Jawatankuasa PBB mengenai Hak Kanak-kanak membangkitkan isu itu, menyeru agar Perancis “melarang secara jelas” semua bentuk hukuman dera terhadap anak.
Mereka yang memihak kepada larangan mengatakan kajian saintifik membuktikan kanak-kanak mengalami penderitaan mental dan fizikal apabila dipukul.
Jika rang undang-undang diterima pakai, Perancis akan menjadi negara ke-55 mengharamkan hukuman mendera anak, langkah yang dimulakan oleh Sweden pada 1979. – AFP, 30 November, 2018.
Komen