PEMILIHAN kepimpinan DAP Selangor kini menyaksikan persaingan antara pemimpin akar umbi dan kepimpinan pusat parti, dengan senarai calon yang menunjukkan lebih daripada 40 pencalonan bagi 15 jawatan dalam jawatankuasa negeri.
Di dalam senarai yang dilihat The Malaysian Insight daripada beberapa sumber, 17 ahli Parlimen negeri dan persekutuan di Selangor akan bertarung melawan calon lain yang terdiri daripada pemimpin akar umbi.
Walau bagaimanapun, senarai tersebut turut menyertakan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, yang sebelum ini mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai pengerusi DAP negeri.
Pemimpin akar umbi juga dilihat khuatir, jika sekiranya Pua kekal dan bertanding dalam pemilihan kepimpinan negeri.
Mereka yang dianggap pencabar Pua, Exco Selangor Ng Sze Han, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, Adun Sg Pelek, Ronnie Liu, Exco kanan Selangor Teng Chang Khim, dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, juga memasuki senarai calon pemilihan tersebut.
Masih tidak dapat ditentukan apakah senarai itu muktamad, atau masih ada rundingan mengenainya sedang dijalankan.
Adun yang termasuk dalam senarai itu adalah Ng, Liu, Ean Yong, Teng, Lee Kee Hiong, Lee Wai Chong, Wong Siew Ki, Rajiv Risyakaran, Jamiliah Jamaluddin, Tony Leong, V. Ganabatirau dan Lau Weng San.
Tiga Adun DAP Selangor yang tidak menyertai pemilihan parti itu ialah Adun Dusun Tua Edry Faizal, Adun Subang Jaya Michelle Ng dan Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei.
Antara yang dilihat menjadi penyokong kuat Pua, adalah Jamiliah, sementara Lim dan Michelle Ng tidak bertanding dalam pemilihan itu.
Bagi keseluruhan empat Ahli Parlimen DAP Selangor, hanya Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang tidak bertanding, sementara Pua, Ahli Parlimen Bangi dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming, dan Ahli Parlimen Puchong dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang memasuki senarai calon.

Mengenai perwakilan akar umbi, ramai pemimpin dari bahagian dewan undangan itu melepaskan jawatan mereka, termasuk pengerusi DAP Serdang Lee Jing Hong, pengerusi DAP Klang Teng Mun Fatt, Setiausaha DAP Klang Lee Foo Hao dan bekas Adun Pandamaran Tan Pok Shyong.
Difahamkan strategi Pua yang tidak dicalon sebagai pengerusi negeri sebaliknya memilih untuk hanya menganggotai jawatankuasa negeri. Bagaimanapun, ia menimbulkan kebimbangan kumpulan yang menjadi saingan pemimpin terkenal DAP itu, ramai dikatakan masih tidak bersedia untuk menyokong secara terbuka lima pencabar Ahli Parlimen Damansara itu berikutan pengaruh besar Pua di Selangor.
Seorang pemimpin Pemuda DAP Serdang memberitahu The Malaysian Insight mereka menolak Pua dan timbalan pengerusi Gobind daripada memasuki pencalonan pemilihan negeri, dan mahu melihat wajah baru menduduki jawatan tersebut.
“Pada masa ini, akar umbi tidak berpuas hati dengan Pua, terutama mengenai pemilihan calon untuk pilihan raya,” kata sumber itu.
Pemilihan DAP Selangor akan diadakan pada 9 Disember depan.
Pencalonan bagi keseluruhan jawatan sudah berakhir dan senarai 45 nama telah diserahkan, pencalonan mereka perlu disahkan pada Isnin, 26 November lalu.
Walau bagaimanapun, setakat ini, jawatankuasa pemilihan parti masih belum mengumumkan senarai tersebut.
Ramai pemimpin DAP Selangor memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka mendengar wujud usaha menggulingkan Pua dan menggantikannya dengan Ng, namun ini masih belum disahkan.
Ini adalah ekoran sokongan terhadap Pua oleh kepimpinan pusat parti dan kedudukannya di dalam kerajaan sekarang sebagai pegawai khas kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang juga merupakan setiausaha agung parti itu. Mereka bimbang akan mencetuskan kemarahan daripada kepimpinan pusat. – 30 November, 2018.
Komen