Keluarga tahanan pasca 9/11 saman CIA untuk tuntut mayat


Gul Rahman diculik kerana disyaki militan pada 5 November 2002 dan dipindahkan ke penjara CIA untuk disoal siasat serta diseksa sehingga mati. – Gambar EPA, 30 November, 2018.

KELUARGA seorang lelaki Afghanistan yang ditahan dan didakwa diseksa hingga mati oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat selepas serangan 9/11 bertindak memfaikan saman pada Jumaat untuk mengetahui apa yang terjadi kepada mayatnya.

Saman itu mengatakan Gul Rahman dan keluarganya tinggal di kem pelarian di Peshawar ketika beliau diculik oleh agensi perisik Amerika Syarikat (AS) itu kerana disyaki sebagai militan pada 5 November 2002 dan dipindahkan ke penjara CIA untuk disoal siasat.

“Dalam tempoh dua minggu, anggota CIA menjadikan Rahman mangsa seksaan dan penderaan ekstensif yang sistematik,” menurut tuntutan itu, sehingga beliau meninggal dunia akibat hipotermia pada 20 November.

Kematiannya tidak dilaporkan sehingga 2010 dan tidak disahkan secara rasminya sehinggalah pada 2014.

“Setakat ini, CIA tidak secara rasmi memaklumkan keluarga Rahman mengenai kematiannya, ataupun mengembalikan mayat kepada keluarganya,” kata saman itu.

Saman itu, dibawa ke mahkamah daerah persekutuan di Washington, menuntut pendedahan rekod mengenai kematiannya dan mayat di bawah Akta Kebebasan Maklumat (FOIA).

Ia susulan selepas agensi itu gagal memberi respons kepada permintaan rasmi di bawah FOIA untuk maklumat tersebut.

Keluarga Rahman turut berkongsi sebahagian daripada penyelesaian kes yang difailkan bersama dua lelaki yang turut diseksa di penjara CIA di Afghanistan terhadap dua psikiatri kontrak CIA yang memberikan nasihat berhubung teknik interogasi dan penyeksaan.

Tetapi keluarga itu tidak pernah diberitahu apa yang berlaku kepada mayat mangsa.

“Saya percaya rakyat Amerika akan tahu tindakan betul yang perlu diambil oleh kerajaan mereka ialah memberitahu saya dan keluarga apa yang berlaku kepada mayat bapa saya,” kata Hajira Hematyara, anak perempuan Rahman.

“Hanya selepas itu kami akan dapat melakukan apa sepatutnya kepada bapa saya dan melaksanakan pengebumian yang betul.”

Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU), yang membantu keluarga Rahman memfailkan tuntutan mahkamah itu, membuat aduan kedua terhadap CIA terhadap mahkamah, berkata pengarah agensi Gina Haspel menghalang pendedahan maklumat untuk melindungi reputasi agensi itu dan kerana ia “berkaitan dengan peranannya sendiri dalam penyeksaan dan penderaan banduan.”

“Negara ini masih perlu terus diperhitungkan dengan akibat daripada penyeksaan itu,” kata peguam kakitangan ACLU, Dror Ladin. – AFP, 30 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen