SEBUAH bas dalam perjalanan ke lapangan terbang Hong Kong berlanggar dengan teksi pada Jumaat menyebabkan lima orang mati dan 31 yang lain cedera, kata polis.
Kemalangan itu berlaku di pulau Tsing Yi dengan imej di media tempatan menunjukkan separuh belakang teksi sepenuhnya hancur dan bahagian depan bas remuk.
Seorang lelaki dan dua wanita diisytiharkan mati di tempat kejadian dan dua lagi meninggal dunia di hospital, kata polis.
Laporan media tempatan mengatakan ia bas pelancong tetapi dilaporkan membawa pekerja ke lapangan terbang.
Tsing Yi dihubungkan dengan sebuah lebuh raya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong di pulau Lantau yang berdekatan.
Rakaman televisyen menunjukkan mangsa yang cedera menerima rawatan di tepi jalan sebelum dibawa ke empat hospital.
The South China Morning Post melaporkan beberapa orang yang cedera berada dalam keadaan parah.
Seorang penumpang berkata bas itu dipandu laju dan merempuh teksi yang berhenti di tepi jalan, lapornya. – AFP, 30 November, 2018.
Komen