Kanada sekat 17 warga Arab Saudi terbabit kes bunuh Khashoggi


Menteri Hal Ehwal Luar Kanada Chrystia Freeland berkata sekatan yang dikenakan kepada 17 warga Arab Saudi akan melibatkan pembekuan aset dan halangan perjalanan mereka ke negara itu. – Gambar EPA, 30 November, 2018.

KANADA mengumumkan pada Khamis sekatan terhadap 17 warga Arab yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di Istanbul bulan lepas.

Sekatan, yang membekukan aset dan menghalang perjalanan mereka ke Kanada, “mensasarkan kepada individu yang, pada pendapat pemerintah Kanada, bertanggungjawab atau terlibat dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2 Oktober 2018,” kata Menteri Hal Ehwal Luar Chrystia Freeland dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Ottawa terus menggesa siasatan telus dan rapi sekitar pembunuhan Khashoggi, mengatakan “penjelasan yang diberi oleh Arab Saudi sehingga kini tidak konsisten dan kredibiliti.”

“Pembunuhan Jamal Khashoggi dikutuk dan mewakili serangan terhadap kebebasan bersuara semua individu,” kata Freeland pada sidang akhbar di Buenos Aires di luar sidang kemuncak G20.

“Kes ini tidak ditutup,” katanya. “Mereka yang bertanggungjawab bagi pembunuhan Jamal Khashoggi mesti dipertanggungjawabkan dan mesti dihadapkan ke muka pengadilan.”

Freeland mengiringi Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau ke sidang kemuncak itu, turut dihadiri oleh Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman.

Arab Saudi mengatakan 21 individu berada dalam tahanan, dengan hukuman mati bakal dikenakan terhadap lima lelaki.

Tekanan antarabangsa semakin meningkat di Riyadh untuk mencari mereka yang bertanggungjawab dalam membunuh Khashoggi, seorang penduduk Amerika yang menulis untuk The Washington Post dan mengkritik Putera Mohammed.

Analisis CIA yang bocor kepada media AS melaporkan, ia menyalahkan Putera Mohammed, walaupun pendakwa Arab Saudi mengatakan beliau tiada peranan dalam pembunuhan itu.

Sekatan Kanada mensasarkan individu yang didakwa menjadi ahli pasukan Arab Saudi yang melakukan pembunuhan, serta para pembantu yang dekat dengan putera berkenaan.

Ia susulan selepas sekutu Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat mengenakan sekatan serupa terhadap semua individu ini. – AFP, 30 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen