400 wanita Sweden menang pampasan kes implan payudara rosak


Skandal implan payudara menjadi tajuk utama global pada 2011, apabila doktor mula melihat peningkatan kadar pecah yang luar biasa pada implan. – Gambar AFP, 30 November, 2018.

MAHKAMAH Perancis semalam mengarahkan agensi pengiktirafan keselamatan Jerman yang meluluskan penggunaan implan payudara rosak agar membayar pampasan kepada kira-kira 400 wanita Sweden.

Mahkamah di pinggir bandar Paris, Nanterre mengarahkan TUV membayar €4,600 euros (RM20,800) kepada setiap plaintif kerana kemudaratan yang disebabkan tindakan ia meluluskan implan dibuat firma Perancis, Polan Implant Prothese (PIP).

Ia juga mengarahkan syarikat itu membayar balik kos implan, yang dipenuhi dengan gel silikon gred industri murah yang digunakan dalam peralatan elektronik, dikeluarkan.

Keputusan itu dibuat sebulan selepas mahkamah rayuan tertinggi Perancis memerintahkan TUV dibicarakan semula kerana kecuaian terhadap peranannya dalam urusan itu, selepas dibebaskan liabiliti oleh mahkamah rendah.

Pipa, sebuah persatuan mewakili 20,000 wanita yang terjejas oleh implan payudara di seluruh dunia, mengalu-alukan keputusan itu.

Bagaimanapun, seorang peguam TUV berkata agensi Jerman itu akan membuat rayuan.

Keputusan mahkamah yang berasingan pada Januari tahun lalu mengarahkan syarikat itu mendepositkan €60 juta bagi kemungkinan pampasan kepada 20,000 wanita yang menerima implan rosak.

Skandal implan payudara menjadi tajuk utama global pada 2011, apabila doktor mula melihat peningkatan kadar pecah yang luar biasa pada implan.

Sebanyak 400,000 wanita di seluruh dunia, kebanyakannya di Amerika Latin, dipercayai melakukan implan payudara.

Ribuan daripada mereka sudah membuangnya, walaupun pihak berkuasa kesihatan di beberapa negara mengisytiharkan ia tidak toksik.

Pengasas PIP Jean-Claude Mas disabitkan dengan penipuan dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun. Syarikatnya ditutup pada 2010. – AFP, 30 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen