SATU daripada topik panas yang dijangka dibincangkan pada Meja Bulat Reformasi Pilihan Raya pertama yang bermula hari ini adalah mempermudahkan pengundian pengudi tidak hadir kepada kumpulan rakyat Malaysia yang lebih luas, kata sumber.
Di bawah undang-undang semasa, pengundi tidak hadir atau undian awal dihadkan kepada mereka yang tidak dapat mengundi pada hari pengundian di stesen mengundi mereka, pegawai yang bertugas pada hari pengundian dan anggota pasukan polis.
“Dengan membukanya (tertakluk kepada faktor geografi), lebih banyak rakyat Malaysia akan dapat mengundi tanpa menanggung kos perjalanan yang tinggi,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.
Di bawah Seksyen 3 Akta Pilihan Raya 1958, undi awal dibenarkan bagi mereka yang ditakrifkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pegawai pilihan raya, calon, ejen pilihan raya, pemerhati booth, ejen pengiraan dan wakil parti politik yang perlu bertugas pada hari pengundian. Angota polis juga termasuk dalam senarai ini.
Sumber itu berkata antara cadangan yang akan dibuat di meja bulat termasuk memperluaskan pengundian awal kepada pengundi awam yang tinggal di luar kawasan pengundian mereka.
Ini kemungkinan adalah pengundi dari Sabah dan Sarawak yang tinggal dan bekerja di Semenanjung, katanya.
“Ini akan menggalakkan lebih banyak orang untuk mengundi.”
Selain hal pengundian tidak hadir, perbincangan juga akan menyaksikan pembentangan daripada Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) dan pakar lain mengenai persempadanan semula, daftar pemilih, integriti pilihan raya, pembiayaan parti, kerajaan sementara, kesalahan pilihan raya dan kebebasan SPR.
Senarai penceramah antarabangsa dijangka hadir pada mesyuarat dua hari itu termasuk pengerusi pilihan raya Britain John Holmes, Presiden Yayasan Kofi Annan Alan Doss, profesor daripada Universiti Aarhus Jorgen Elklit dan Profesor Yuko Kasuya daripada Universiti Keio.
Pakar tempatan yang terlibat pula ialah Pengerusi ERC Abdul Rashid Abdul Rahman, Pengerusi SPR Azhar Harun, Dr Wong Chin Huat daripada Institut Pulau Pinang dan Profesor Madya Dr Faisal Hazis daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.
ERC dibentuk pada Ogos dan ditugaskan untuk mengkaji sistem dan undang-undang pilihan raya susulan dakwaan penyelewengan pada pilihan raya lepas dan cadangan penyusunan semula tahun ini. Suruhanjaya itu diketuai oleh bekas ketua SPR, Rashid.
Pertemuan itu dianjurkan oleh Pejabat Speaker Dewan Rakyat, SPR, Global Bersih dan Bersih 2.0, Yayasan Kofi Annan, Yayasan Antarabangsa untuk Sistem Pilihan Raya (IFES) dan International Ideas. – 30 November, 2018.
Komen