PERANCIS terus berusha untuk melaksanakan larangan memukul kanak-kanak, amalan yang dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Usaha kerajaan terdahulu untuk menguatkuasakan larangan itu terjejas akibat tentangan golongan konservatif.
Rang undang-undang mengecam amalan memukul kanak-kanak yang dibentangkan pada 2016 ditolak oleh Majlis Perlembagaan kerana ia diguna pakai dalam bentuk pindaan kepada undang-undang yang tidak berkaitan.
Persidangan Nasional hari ini akan membangkitkan perkara itu sekali lagi bagi membahaskan rang undang-undang tersebut yang dikemukakan oleh ahli Parlimen berhaluan tengah yang mempunyai sokongan kerajaan.
Rang undang-undang berhubung sebarang bentuk hukuman badan atau memalukan, mahu memastikan golongan ibu bapa dan penjaga tidak mengamalkan keganasan ke atas kanak-kanak sama ada dalam bentuk fizikal, percakapan atau psikologi.
Menurut laporan pertubuhan bukan kerajaan Yayasan Kanak-Kanak, sebanyak 85% ibu bapa di Perancis sering mengenakan hukuman keras terhadap anak mereka.
Pihak sekolah di negara itu sudah lama dilarang untuk mengenakan hukuman fizikal ke atas pelajar, tetapi larangan itu tidak terpakai kepada ibu bapa.
Paling penting, rang undang-undang itu tidak akan melarang ibu bapa untuk mendisplinkan anak mereka memandangkan ia adalah objektif utama dalam mendidik.
Pada Mac 2015, pertubuhan hak asasi Majlis Eropah membangkitkan kegagalan Perancis untuk melaksanakan larangan memukul kanak-kanak seperti yang dilaksanakan di kebanyakan negara Eropah.
Setahun kemudian Jawatankuasa Hak Asasi Kanak-Kanak PBB membangkitkan itu dan meminta Perancis untuk melaksanakan larangan terhadap sebarang bentuk hukuman fizikal ke atas kanak-kanak. – AFP, 29 November, 2018.
Komen