SEORANG pemandu terbunuh apabila trak pikapnya dirempuh seekor daripada dua gajah liar di sebatang jalan yang gelap berhampiran kawasan hutan di timur laut Thailand, lapor agensi berita China Xinhua pada Khamis.
Menurut laporan media tempatan, kenderaan yang dipandu laju itu telah dirempuh haiwan terbabit di Taman Negara Khao Yai yang terletak di timur laut Wilayah Nakhon Ratchasima pada petang Rabu.
Pemandu berusia 59 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Para penyelamat telah menggunakan pemotong besi untuk mengeluarkan mayat mangsa daripada kenderaan yang rosak teruk.
Saksi berkata kedua-dua ekor gajah sedang menyeberangi jalan terbabit ketika nahas itu berlaku.
Saksi telah mengangkat tangan kepada pemandu terbabit untuk memberi amaran kepadanya agar menjauhi haiwan liar itu namun keadaan yang terlalu gelap menyebabkan mangsa gagal melihat mereka.
Para pegawai taman negara dan polis telah menjejaki gajah terbabit dan mendapati ia cedera di bahagian kaki. – Bernama, 29 November, 2018.
Komen