Jerman serbu bank berkaitan Kertas Panama


Hampir 170 anggota polis dan penyiasat daripada pejabat pendakwa raya menyerbu enam cawangan Bank Deutsche di sekitar Frankfurt. – Gambar EPA, 29 November, 2018.

PENDAKWA RAYA Jerman menyerbu beberapa pejabat Bank Deutsche di kawasan Frankfurt hari ini kerana disyaki melakukan pengubahan wang haram berdasarkan pendedahan Kertas Panama pada 2016.

Siasatan berpusat kepada dakwaan yang peminjam terbesar Jerman itu membantu pelanggannya menubuhkan akaun pesisir pantai untuk “memindahkan wang daripada aktiviti jenayah” kepada akaun Bank Deutsche, kata pejabat pendakwa raya Frankfurt.

Hampir 170 anggota polis dan penyiasat daripada pejabat pendakwa raya menyerbu enam cawangan bank di sekitar bandar tersebut, tambah kenyataan itu lagi.

Bank Deutsche mengesahkan serbuan dilakukan dan berkata ia “memberikan kerjasama penuh” dengan pihak berkuasa.

“Kes ini berkaitan dengan Kertas Panama,” tambahnya.

Skandal Kertas Panama yang tercetus pada 2016 apabila data daripada firma guaman di Panama, Mossack Fonsenca dibocorkan mendedahkan jenayah tidak membayar cukai yang wujud dalam kalangan kumpulan kaya dan ternama dunia yang menyembunyikan aset mereka dalam akaun pesisir pantai.

Bank Deutsche antara ratusan institusi kewangan yang muncul dalam data tersebut.

Pendakwa raya Frankfurt berkata siasatan tertumpu kepada dua pekerja Bank Deutsche berumur 50 dan 46 tahun serta “beberapa” orang pegawai kanan bank.

Menurut laporan Kertas Panama, mereka dituduh “gagal melaporkan pengubahan wang haram meragukan” berkaitan dengan syarikat pesisir pantai terlibat dalam pelarian cukai “walaupun mempunyai bukti mencukupi” yang mencadangkan wujud aktiviti haram, kata pendakwa raya.

Saham Bank Deutsche jatuh 2.7% kepada 8.36 euro pada jam 1000 GMY, berbanding indeks DAX yang naik 0.6%. – AFP, 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen