GABENOR Rio de Janeiro Luiz Fernando Pezao ditahan hari ini atas dakwaan menerima rasuah dalam siasatan besar-besaran rasuah “Car Wash”, menurut laporan media Brazil.
Saluran Globo News menunjukkan siaran langsung polis persekutuan berada di kediaman gabenor yang ketika itu sedang bersarapan pagi dan dikenakan tahanan rumah.
Pezao dituduh menerima rasuah ketika menjadi naib gabenor di bawah Sergio Cabral yang kini sedang menjalani penjara selama 180 tahun kerana korupsi.
Polis turut menyerbu Istana Guanabara, ibu pejabat kerajaan di Rio untuk mencari dokumen.
Mahkamah Agung Keadilan mengeluarkan waran tangkap berdasarkan pengakuan Carlos Miranda, bekas sekutu Cabral yang bekerjasama untuk mengurangkan jumlah hukuman.
Menurut keterangan Miranda, Pezao menerima bayaran bulanan mencecah 150,000 reai (AS$40,000) serta bonus hujung tahun mencecah sejuta reai.
Wang tersebut dibayar syarikat dan orang tengah yang mendapat kontrak dengan kerajaan Rio antara 2007 hingga 2014.
Negeri Rio kini berdepan risiko muflis dan dicengkam ketidaktentuan.
Wilson Witzel dipilih pada Oktober lalu dan dijadualkan memulakan tugas mentadbir negeri pada 1 Januari depan. – AFP, 29 November, 2018.
Komen