Parlimen Sri Lanka sekat peruntukan Pejabat Perdana Menteri


Sri Lanka berdepan krisis sejak 26 Oktober lalu apabila presiden memecat Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe dan melantik Mahinda Rajapakse sebagai penggantinya, pemimpin berkarisma tetapi tidak mendapat sokongan ramai. – Gambar EPA, 29 November, 2018.

PARLIMEN Sri Lanka mengundi hari ini untuk menghalang perbelanjaan Pejabat Perdana Menteri, seterusnya melumpukan lagi kerajaan yang sudah berminggu lamanya terjebak dalam kemelut dua pemimpin untuk mentadbir negara itu.

Negara pulau itu berdepan krisis sejak 26 Oktober lalu apabila presiden memecat Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe dan melantik Mahinda Rajapakse sebagai penggantinya, pemimpin berkarisma tetapi tidak mendapat sokongan ramai.

Wickremesinghe enggan berundur dan mendapat sokongan majoriti Parlimen dan sudah dua kali mengundi mendesak Rajakapse berundur.

Rajakapse mendapat sokongan presiden dan menamakan Kabinet serta menjalankan tugas selaku ketua kerajaan tanpa sokongan Parlimen.

Dalam usaha mengekang kuasanya, Parlimen membentangkan resolusi memotong belanja Pejabat Perdana Menteri seterusnya menghalang Rajapakse menggunakan wang negara untuk mentadbir kerajaan.

“Kami cadangkan menghentikan semua perbelanjaan kerana beliau tidak memegang jawatan perdana menteri secara sah,” kata Ravi Karunanayake, wakil rakyat daripada parti diketuai Wickremesinghe.

“Ini adalah kerajaan gasar dan Parlimen akan mengambil alih kawalan kewangan melalui usul ini.”

Keadaan bertambah buruk untuk kerajaan diketuai Rajapakse yang tidak boleh membentangkan Belanjawan 2019 dan berdepan risiko memasuki tahun pentadbiran baharu tanpa perbelanjaan diluluskan Parlimen.

Moody’s baru-baru ini menurunkan rating kredit Sri Lanka di samping amaran negara itu mungkin gagal membayar hutang luarnya.

Sementara itu, dua orang wakil rakyat berpaling tadah daripada kem Sirisena-Rajapakse pada Khamis memasuki kem Wickremesinghe, seterusnya menghakis kuasa kerajaan yang semakin menurun sejak bulan lepas. – AFP, 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen