Migran di sempadan AS-Mexico mula dijangkit penyakit


Sekumpulan migran dikawal pihak berkuasa di sempadan Mexico-AS. – Gambar EPA, 29 November, 2018.

RIBUAN pendatang Amerika Tengah yang tidak dapat menyeberangi sempadan Mexico-Amerika Syarikat (AS) kini berdepan penularan wabak penyakit.

Migran termasuk kanak-kanak kebanyakkannya dari Honduras mula memenuhi kompleks sukan di bandar Tijuana sempadan Mexico sejak tiga minggu lalu, ada di kalangan mereka dijangkiti penyakit seperti masalah pernafasan dan cacar air, menurut pegawai di bandar itu. 

Mereka ditempatkan di kompleks berkenaan sementara menunggu pihak berkuasa AS dan Mexico mencari jalan penyelesaian.

Kebanyakannya terpaksa  tinggal di khemah yang terbuat dari plastik sampah dan hanya tidur dilantai.

Polis Mexico menyekat ratusan penghijrah melintasi sempadan selepas mereka mengadakan protes pada Ahad.

Presiden Donald Trump sebelum ini dilaporkan mengancam untuk menutup kawasan sempadan itu “secara kekal”, jika Mexico tidak mengusir kira-kira 7,000 warga Amerika Tengah yang kini berada di Tijuana.

Sementara itu, Menteri Luar Mexico, Luis Videgaray berkata semua penghijrah itu dialu-alukan tinggal di Mexico.

Namun menurutnya, mereka mempunyai hak memohon suaka di AS dan Mexico berulang kali menolak permintaan negara itu untuk mengusir migran daripada mendapatkan perlindungan.  – Bernama, 29 November, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen