JMB One City nafi ada kaitan dengan pemaju terlibat rusuhan kuil


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Jurucakap Badan Pengurusan Bersama (JMB) Skypark, The Place dan The Square, Chong Li Loh (duduk tengah) berkata premis mereka diserang kerana orang beranggapan mereka mempunyai kaitan dengan One City Development Berhad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 November, 2018.

TIGA Badan Pengurusan Bersama (JMB) Skypark, The Place dan The Square di One City menafikan terlibat dengan kejadian rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Jurucakap tiga badan itu, Chong Li Loh berkata premis mereka diserang kerana salah faham bahawa mereka mempunyai kaitan dengan One City Development Berhad.

“Kami adalah mangsa keadaan. Kami tiada kaitan dengan mereka (One City Development Berhad).”

Selasa lepas, sekumpulan lelaki merosakkan Menara MCT di Subang Jaya, Selangor di mana pejabat One City Development Sdn Bhd terletak.

“Kami ingin menjelaskan yang kami hanya menyewa di situ. Orang salah faham kerana nama dan logo,” kata Chong kepada pemberita di Skypark Subang hari ini.

Kumpulan lelaki itu memecahkan pintu kaca di tingkat bawah bangunan dan membakar sebuah van.

Polis dan  Unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya menghalang mereka daripada terus membuat kerosakan.

Menurut Chong, One City di USJ 25 adalah pembangunan campuran milik 939 individu dan bukan dimiliki oleh MCT Berhad atau City Development Berhad.

Pemilik tanah tapak kuil itu katanya ialah One City Development Berhad dan ketiga-tiga JMB itu tidaka kaitan dengan Syarikat terbabit.

“Kami adalah dua entiti berasingan. Kami sedih dengan apa yang berlaku.”

Chong juga berkata perunding mereka sedang menilai kos kerosakan pejabat mereka.

“Jumlah sebenar kerosakan belum ada lagi.

“Kami juga akan merujuk penasihat undang-undang kami berkenaan perkara ini.”

Tambah beliau, mereka masih belum menghubungi One City Development Berhad dan syarikat itu juga belum menghubungi mereka. – 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen