Himpunan Bantah ICERD kekal di Dataran Merdeka


SM Amin

Pengerusi Ummah Aminuddin Yahya berkata, pihak penganjur tidak pernah membuat sebarang pengumuman lokasi rapat umum itu berpindah ke tempat lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2018.

HIMPUNAN Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) tetap akan diadakan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada 8 Disember ini, kata penganjur Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Pengerusi Ummah Aminuddin Yahya berkata, pihak penganjur tidak pernah membuat sebarang pengumuman lokasi rapat umum itu berpindah ke tempat lain.

“Setakat hari ini kita masih lagi meletakkan tempat yang kita akan berkumpul adalah di Dataran Merdeka,” katanya dalam satu sidang media hari ini di Hotel Putra Kuala Lumpur.

Menurut Aminuddin, pihaknya juga sudah berbincang dengan pihak polis untuk memastikan perhimpunan tersebut berjalan aman tanpa provokasi mana-mana pihak.

Penganjur juga akan menyediakan 3,000 sukarelawan untuk menjaga keselamatan termasuk daripada Jabatan Amal PAS dan pihak-pihak NGO itu sendiri, katanya.

Berkenaan dengan surat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Dataran Merdeka, Aminuddin memaklumkan surat tersebut telah dihantar sebelum ini.

“Kita dimaklumkan DBKL menyerahkan kepada kabinet untuk membuat keputusan. Alhamdulillah, semalam Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) telah membuat kenyataan bahawa beliau tiada halangan untuk kita berkumpul selagi kita patuh kepada syarat-syarat himpunan aman

“Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin juga telah beri pandangan beliau, tiada masalah untuk diteruskan,” katanya.

Aminuddin turut memaklumkan 20 wakil NGO akan berucap selain daripada ucapan pimpinan parti politik.

Jelasnya, terdapat lima perkara yang akan diberikan tumpuan antaranya meminta kerajaan buat satu kenyataan yang tegas terhadap penolakkan ICERD; mendesak kerajaan bawa dalam parlimen untuk direkodkan sebagai dokumen rasmi hansard Parlimen dan mendesak supaya gerakan-gerakan yang cuba memainkan isu ini diberhentikan serta merta.

“Kita minta tiga menteri yang sering mengkritik himpunan ini berhenti buat kenyataan dan kita minta kerajaan pertimbangkan semula kedudukan Menteri Perpaduan P. Waytha Moorthy kerana dialah punca isu ICERD,” katanya.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata Himpunan Bantah ICERD akan diteruskan kerana tidak yakin Putrajaya tidak akan meratifikasi dokumen antarabangsa itu setelah beberapa pimpinan kerajan membuat kenyataan bercanggah.

“Kita ada keraguan (kerajaan tidak akan ratifikasikan ICERD. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kata, adalah mustahil untuk mengesahkan ICERD, bakal perdana menteri Anwar Ibrahim kata tunggu sebelum mengesahkan, yang lain mengatakan mereka tidak faham. Kenyataan mereka bercanggah.

“Kita akan terus mengadakan demonstrasi untuk meraikan tiada ratifikasi ICERD dan menyokong Perdana Menteri yang mengatakan bahawa mustahil untuk meratifikasi perjanjian PBB,” katanya. – 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen