1,000 rakyat Palestin berdepan kecacatan kekal akibat perbuatan Israel


Menurut kementerian kesihatan Palestin, kira-kira 6,000 rakyat Palestin ditembak tentera Israel sejak Mac lalu. – Gambar EPA, 29 November, 2018.

KIRA-KIRA 1,000 rakyat Palestin yang cedera akibat ditembak tentera Israel semasa konfrontasi di sempadan, berdepan risiko kecatatan kekal akibat terkena jangkitan kuman.

Pertubuhan kesihatan Medecins Sans Frontieres (MSF) berkata sistem kesihatan di Gaza berdepan kemelut logistik memandangkan jumlah kes lebih tinggi berbanding rawatan yang disediakan.

Menurut kementerian kesihatan Palestin, kira-kira 6,000 rakyat Palestin ditembak tentera Israel sejak Mac lalu.

Kebanyakan mereka terkena peluru hidup di bahagian kaki, menyebabkan kecederaan mereka mudah dijangkiti kuman.

Malah kira-kira 1,000 pesakit yang dijangkiti kuman boleh mengalami kecacatan kekal atau mati.

Pertubuhan itu meminta Israel untuk membenarkan mangsa yang cedera keluar dari wilayah Gaza yang kini dikenakan sekatan perjalanan.

Katanya langkah itu penting bagi merawat mangsa yang cedera dan mendapatkan bantuan kemanusiaan.

Israel masih mengenakan sekatan ketat ke atas Gaza dengan alasan mahu menghalang pejuang Hamas menyeludup masuk senjata atau bahan yang digunakan ke atas rejim Zionis. – AFP, 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen