SELANGOR memberi jaminan kuil Sri Maha Mariamman di Seafield tidak akan dirobohkan selagi mahkamah tidak memberi keputusan akhir berhubung pertikaian ke atas tapak kuil berkenaan.
Amir berkata, keputusan akhir hanya dapat diketahui apabila Mahkamah Tinggi memutuskan injunksi yang dipohon berhubung perobohan kuil itu pada 11 Januari.
Katanya kerajaan negeri hanya akan dapat campur tangan sedaya upayanya dan akan akur kepada keputusan mahkamah.
“Ia memang keputusan. Kalau kita berpegang kepada keputusan sekarang akhirnya ia tidak akan bergerak ke mana. Kerajaan negeri perlu campur tangan sampai ke tahap yang kita mampu atau upaya,” katanya.
Amirudin juga meminta semua pihak tidak menimbulkan provokasi dan menimbulkan kekacauan agar perbincangan dapat diteruskan bagi mencari penyelesaian kes tanah kuil tersebut.
“Ia (kuil) akan kekal sampai kita bincang, kalau semua pihak bersetuju untuk tidak lagi provokasi mengadakan sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan kekacauan. Itu syarat yang saya letakkan.
“Saya akan bagi komitmen sepenuhnya untuk selesaikan. Saya mahu semua orang akan dapat keadilan,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Perpaduan P Waytha Moorthy di Dewan Annexe, Bangunan SUK di Shah Alam.
Amirudin turut ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang menolak permohonan tiga penganut kuil itu untuk mendapatkan semula tapak kuil tersebut.
Jelasnya, penyelesaian berhubung pemilikan tanah berkenaan akan diteruskan sehingga injunksi ke atas perobohan kes itu didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Januari.
Mahkamah hari ini menangguhkan pelaksanaan penghakiman persetujuan dan writ milikan kepada One City Development Sdn Bhd bagi mendapatkan semula tapak kuil itu.
Usaha pemaju untuk mengambil alih kuil berkenaan mencetuskan rusuhan pada Isin dan siri rusuhan lain selepas itu di kawasan berhampiran tapak kuil tersebut di USJ 25, Subang Jaya.
Kenyataan rasmi kerajaan menyebut, penasihat undang-undang syarikat pemaju mengupah kumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh dan mengambil alih kuil berkenaan.
Tindakan itu yang seterusnya mencetus rasa tidak senang hati penganut Hindu di kuil tersebut dan membawa kepada rusuhan.
Tindakan ganas perusuh antara lain menyebabkan sejumlah kenderaan terbakar dan seorang anggota bomba cedera yang cuba memadam kebakaran cedera parah.
Perusuh berkenan turut merosakkan cermin bangunan milik pemaju, One City yang terletak satu kilometer dari kuil tersebut.
Sehingga hari ini polis menahan kira-kira 30 individu bagi membantu siasatan. – 29 November, 2018.
Komen