Selangor tak akan ambil alih tanah kuil, kata menteri besar


Nabihah Hamid

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy ketika mengadakan sidang media berhubung isu kuil Seafield di Dewan Annexe Negeri Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 November, 2018.

KERAJAAN Selangor tidak akan mengambil alih tapak kuil Sri Maha Mariamman bagi membantu menyelesaikan pertikaian ke atas tanah tersebut, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Tegasnya ia tidak akan dilakukan kerana melibatkan kos tinggi dan tidak adil kepada pembayar cukai Selangor.

Bagaimanapun, kerajaan tetap komited membantu menyelesaikan kemelut berkenaan, katanya.

“Sebarang dakwaan itu belum diputus (premature) masih tidak ada kata kesimpulan lagi dibuat. Saya lihat lebih baik kita bawa ke meja rundingan untuk berbincang. 

“Saya tidak boleh beritahu apa kaedah (penyelesaian), sebab masih lagi dalam perbincangan dan kita harus lihat kepada kos kerajaan negeri dan juga kos yang ditanggung dan kalau kosnya terlalu besar saya rasa tidak adil juga . 

“Saya rasa kos juga agak tinggi (untuk ambil alih tanah) dan tidak adil untuk pembayar cukai (Selangor) yang lain,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Annexe, SUK ,Shah Alam. 

Beliau mengulas laporan The Malaysian Insight semalam bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan kerajaan Selangor mengambil alih tanah berkenaan.

Sumber menyatakan, kerajaan Selangor seterusnya akan menyerahkan tanah itu kepada pihak pentadbiran kuil Sri Maha Mariamman untuk membolehkan rumah ibadat itu kekal di tempat asal. 

Mengulas lanjut, Amirudin bagaimanapun mengakui bahawa cadangan agar kerajaan Selangor mengambil alih tanah itu dibincangkan dengan Menteri Perpaduan P Waytha Moorthy semalam.

Beliau juga meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai penyelesaian berhubung isu tanah kuil tersebut sehingga pengumuman rasmi dibuat.

“Sebagai kerajaan, kita beriltizam untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan bertindak mengikut ruang lintup perundangan. 

“Untuk kes melibatkan serangan di kuil dan kecederaan kepada pegawai bomba Muhammad Adib, kerajaan negeri Selangor mempunyai sepenuh keyakinan dan kepercayaan penuh kepada pihak PDRM untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat,” kata Adun Sungai Tua itu. 

Hari ini, kerajaan persekutuan turut menubuhkan sebuah pasukan petugas khas yang dipanggil Op Seafield bagi menyiasat insiden rusuhan di kuil tersebut.

Pasukan itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan menggabungkan anggota daripada JSJ Bukit Aman dan kontinjen polis Selangor termasuk beberapa pejabat polis daerah. – 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen