Rating sokongan terhadap presiden Korea Selatan menurun


Menerusi kaji selidik oleh Realmeter ke atas 1,508 responden yang dijalankan pada minggu ini, populariti Presiden Korea Selatan Moon Jae-in menjunam kepada 48,8 peratus berbanding hampir 80 peratus pada Mei, menunjukkan trend penurunan bagi minggu kesembilan. – Gambar EPA, 29 November, 2018.

HASIL tinjauan pada Khamis menunjukkan populariti Presiden Korea Selatan Moon Jae-in buat pertama kalinya berada di bawah 50 peratus berikutan ekonomi yang perlahan dan kebimbangan terhadap usaha damai dengan Korea Utara.

Populariti Moon pada Mei berada pada sekitar 80 peratus - cukup tinggi bagi mana-mana presiden Korea Selatan pada akhir tahun pertama perkhimatan mereka - ekoran sidang kemuncak bersama pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Bagaimanapun, menerusi kaji selidik oleh Realmeter ke atas 1,508 responden yang dijalankan pada minggu ini, ia menjunam kepada 48,8 peratus.

Penurunan mendadak ini adalah gambaran kepada rasa tidak puas hati rakyat terhadap ekonomi yang perlahan disertai pertumbuhan yang tidak berganjak, peningkatan kadar pengangguran dan jurang pendapatan yang semakin melebar, menurut kaji selidik itu.

“Petunjuk ekonomi seperti pengangguran dan pelaburan yang kekal lembap melemahkan harapan agar ekonomi akan pulih.”

Realmeter menambah, perbincangan mengenai nuklear antara Amerika Syarikat dan Korea Utara yang tergantung turut menyumbang kepada persepsi negatif terhadap Moon kerana rakyat bimbang beliau mungkin terlalu cepat dalam usaha damai dengan Pyongyang.

Moon mula menjawat jawatan presiden pada Mei 2017 selepas bekas presiden Park Geun-hye ditahan kerana terlibat dalam skandal rasuah. Imejnya yang merendah diri dan terbuka Moon menyebabkan beliau mendapat sokongan rakyat.

Rating Parti Demokratik pimpinan Moon juga merosot kepada 37.6 peratus - terendah dalam tempoh dua tahun - manakala sokongan terhadap parti pembangkang, Liberty Korea Party, naik kepada 26.2 peratus. – AFP, 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen