Putera mahkota Arab Saudi dijangka bertemu Erdogan di Argentina


Putera Mahkota Mohammed bin Salman dijangka mengadakan pertemua dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di luar Sidang Kemuncak Kumpulan 20 di Buenos Aires. – Gambar EPA, 29 November, 2018.

PUTERA Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman tiba di Buenos Aires bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20), dan antara agenda lain untuk membetulkan tanggapan umum berhubung spekulasi pembunuhan wartawan Khashoggi.

Ketibaan Putera Mahkota itu di lapangan terbang disambut Menteri Luar Argentina, Jorge Faurie.

Pegawai Arab Saudi berkata putera itu dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di luar sidang kemuncak.

Sekaligus menjadikan ia pertemuan pertama mereka sejak pembunuhan kejam Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober.

“Mungkin akan ada pertemuan”, kata jurucakap presiden Turki Ibrahim Kalin.

Sementara itu, Argentina belum memutuskan sama ada akan menjalankan siasatan terhadap Putera Mohammed berhubung kes berkaitan dan kemungkinan melakukan jenayah perang di Yaman.

Pada Isnin, Kenneth Roth, pengarah eksekutif Human Rights Watch sebuah kumpulan hak asasi antarabangsa, mahu Argentina melakukan siasatan.

“Keputusan Argentina untuk memulakan siasatan menjadi isyarat kuat bahawa undang-undang tidak mengira sesiapa walaupun mereka yang mempunyai kuasa dan kedudukan,” kata Roth dalam satu kenyataan.

Khashoggi, yang hidup dalam buangan di Virginia, Amerika Syarikat, sejak 2017, dibunuh ketika beliau berkunjung ke konsulat Arab Saudi untuk menguruskan dokumen perkahwinannya. – Bernama, 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen