Panel PBB mahu Syria beri maklumat tahanan perang


Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Syria berkata Damascus perlu didesak memberi maklumat tentang nasib mereka yang hilang atau ditahan ketika perang selama tujuh tahun. – Gambar EPA, 29 November, 2018.

SURUHANJAYA Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Syria semalam mendesak Majlis Keselamatan menekan Damascus memberi maklumat kepada keluarga tentang nasib mereka yang hilang atau ditahan ketika perang selama tujuh tahun.

Selepas mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli majlis berkenaan, pengerusi suruhanjaya itu berkata kerajaan perlu didesak supaya memberikan maklumat.

“Isu mengenai tahanan dan mereka yang hilang tidak harus ditangani selepas perdamaian, sebaliknya inilah masa untuk mempertimbangkannya,” kata Paulo Pinheiro yang mengetuai suruhanjaya bagi menyiasat pelanggaran hak asasi manusia dalam perang.

Pada Mei, polis dan tentera buat kali pertama memberi maklumat kepada pejabat pendaftaran kerajaan mengenai mereka yang mati, bagi membolehkan ahli keluarga mengetahu nasib saudara mereka.

“Syria mula mengeluarkan maklumat berkenaan, tetapi tidak cukup,” kata ahli suruhanjaya, Hanny Megally.

“Keluarga ada hak untuk tahu apa yang berlaku, di mana mayat dan maklumat mengenai mereka.”

Tambah beliau, sebuah badan bebas antarabangsa perlu diberi akses kepada semua pusat tahanan untuk mengesahkan siapa yang masih hidup dalam tahanan.

Suruhanjaya itu juga berharap ahli-ahli Majlis Keselamatan, termasuk sekutu Syria iaitu Rusia, menggalakan Damascus memenuhi permintaan keluarga mereka yang hilang atau terbunuh.

Perang Syria telah meargut lebih 360,000 nyawa dan berjuta lagi rakyatnya hidup dalam pelarian.

Usaha-usaha diplomatik yang diketuai oleh PBB untuk menamatkan perang telah tertangguh, namun Rusia, Iran dan Turki mengambil usaha lain untuk menstabilkan negara bergolak itu. – AFP, 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen