MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menolak permohonan injunksi oleh tiga penganut Kuil Sri Maha Mariamman untuk menghalang One City Development mengambil alih tapak dan merobohkan kuil itu.
“Hakim menolak permohonan penangguhan, tiada kos diberikan,” kata peguam plaintif, S Mohan selepas sesi pendengaran dengan Hakim Gunalan Muniandy dan peguam pemaju itu di mahkamah pagi tadi.
“Selepas membaca semua alasan, mahkamah menetapkan plaintif tidak mepunyai alasan kukuh untuk mendapat permohonan penangguhan,” kata Mohan sambil menambah saman sivil yang difailkan oleh tiga penganut itu akan diteruskan.
Permohonan injunksi itu difailkan oleh S. Thangaraju, M. Mohanakhrishnan dan S. Nagarajah.
Keputusan mahkamah hari ini bermakna penghakiman bagi kebenaran penempatan semula kuil itu kekal.

Penghakiman asal bagi kebenaran itu adalah sebahagian daripada penyelesaian mahkamah pada 2014 melibatkan One City, kerajaan Selangor dan dua pihak yang menuntut pengurusan kuil tersebut – K. Chellappa dan M. Nagaraju.
Chellapa dan Nagaraju, yang terlibat dalam pertikaian undang-undang berasingan terhadap pengurusan kuil itu, bersetuju menyerahkan semula tanah tapak kuil selepas One City bersetuju menyumbangkan RM1.5 juta bagi pembinaan kuil baharu di atas dua bidang tanah yang diberi oleh pemaju terbabit.
Sejak itu, Chellapa dinamakan sebagai pengurus kuil, tetapi Nagaraju enggan mematuhi perintah mahkamah supaya berpindah.
Selepas kuil menyerahkan hak salah satu daripada dua bidang tanah itu, One City memberi lagi pampasan sebanyak RM1 juta.
Pada Jun, selepas One City mengeluarkan notis mengosongkan tanah kepada kuil, Nagaraju dan orang-orangnya enggan mematuhi perintah mahkamah supaya berpindah ke tapak baharu. – 29 November, 2018.
Komen