PRESIDEN Ukraine, Petro Poroshenko hari ini meminta ahli Nato, termasuk Jerman, menghantar kapal tentera laut ke Laut Azov bagi menyokong negaranya dalam perselisihan dengan Rusia.
“Jerman adalah salah satu sekutu kami paling dekat, dan kami berharap negara dalam Nato kini bersedia untuk mengerahkan kapal tentera laut ke Laut Azov untuk membantu Ukraine dan menyediakan sokongan keselamatan,” katanya kepada akhbar Jerman, Bild .
Presiden Rusia Vladimir Putin semalam menegaskan tentera negaranya berhak merampas tiga kapal Ukraine hujung minggu lalu.
Tetapi, Poroshenko mendakwa Putin “tidak hanya ingin menduduki kawasan laut. Satu-satunya bahasa yang beliau fahami adalah perpaduan dunia Barat “.
“Kita tidak boleh menerima dasar agresif Rusia ini. Mula-mula, Crimea, kemudian, timur Ukraine. Sekarang, beliau mahu Laut Azov.
“Jerman juga harus bertanya kepada diri sendiri: apa yang akan dilakukan oleh Putin seterusnya jika kita tidak menghentikannya?” Katanya pada hari Perdana Menteri Ukraine, Volodymyr Groysman dijangka melawat Berlin.
Rusia menembak dan kemudian merampas tiga kapal Ukraine pada Ahad, mendakwa ia secara haram memasuki perairannya di Laut Azov, dalam ketegangan dramatik yang menimbulkan kebimbangan ia bertambah buruk.
Kiev menuduh Rusia, yang merampas Crimea daripada Ukraine pada 2014, melancarkan “fasa pencerobohan baru”.
Ketua Nato, Stoltenberg pada Isnin menuntut Rusia membebaskan kapal dan anak kapal milik Ukraine, memberi amaran kepada Moscow bahawa “tindakannya mempunyai akibat”.
Poroshenko juga memberitahu akhbar yang Canselor Jerman Angela Merkel adalah sahabat baik Ukraine.
“Pada 2015, beliau menyelamatkan negara kita melalui rundingannya di Minsk, dan kami harap beliau akan sekali lagi menyokong kami dengan kuat, bersama sekutu kami yang lain.
“Putin mahu menggembalikan empayar lama Rusia. Crimea, Donbas, beliau mahukan seluruh negara.
“Sebagai maharaja Rusia - seperti mana beliau melihat dirinya - kerajaannya tidak dapat berfungsi tanpa Ukraine, beliau melihat kami sebagai tanah jajahan.” – AFP, 29 November, 2018.
Komen