POLIS anti-keganasan Itali pada Rabu menahan seorang lelaki warga Lebanon yang disyaki merancang serangan racun atas nama kumpulan militan Islamic State (IS).
Suspek Alhaj Ahmad Amin, ditangkap kerana mempunyai kaitan dengan keganasan antarabangsa dan dituduh “menyertai kumpulan pengganas IS,” kata ketua anti-mafia dan keganasan, Federico Cafiero de Raho kepada pemberita.
Polis menangkap suspek berusia 28 tahun itu di Macomer di pulau Sardinia selepas mendapat maklumat.
Selepas seorang anggota IS ditahan di Lubnan kerana merancang meracun air minuman tentera Lubnan, didapati dia mempunyai seorang sepupu di Itali yang “mempunyai idea untuk menjalankan operasi serupa di Eropah”, kata polis.
Terdapat banyak maklumat menghubungkannya kepada IS dan penggunaan racun ditemui dalam telefon pintar lelaki itu.
Beberapa jalan di sekitar pusat bandar Macomer disekat bagi memastikan suspek gagal melarikan diri, menurut laporan media tempatan. Dia ditangkap ketika keluar dari rumahnya untuk menaiki van. – AFP, 29 November, 2018.
Komen