SEMUA orang beratur. Ada melambai tanda gembira. Barangkali terbayangkan syurga. Ada juga yang tampak sedih dan meraung-raung. Mungkin ternampak-nampak neraka.
Debar makin kemuncak. Haji Tingtong kelihatan tenang dan senyum. Lagak orang beriman barangkali. Wajahnya tidak sedikit pun pucat. Dia begitu yakin masuk syurga.
Masakan tidak, Haji Tingtong dikenali sebagai pemimpin Islam terkemuka. Ulama pula, dari dalam negara hingga persada dunia.
Siapa tidak kenal? Baris kata dan lafaz dari mulut Haji Tingtong pasti digambarkan Islam. Bukan sedikit pengikut Haji Tingtong. Berpuluh ribu. Mungkin berjuta-juta. Kalau Haji Tingtong mahu arahkan perang, siap siaga!
Sepanjang hayat Haji Tingtong, Islam sentiasa jadi matlamat. Mungkin itulah sebabnya mengapa Haji Tingtong begitu tenang sekali.
Tidak seperti orang lain, resah memikirkan antara balasan syurga atau neraka. Sesekali juga Haji Tingtong melambaikan kepada penghuni syurga dengan senyum lebarnya.
Tunggu kawe deh. Jumpa di syurga.
Tiba giliran Haji Tingtong. Tuhan pun mengajukan pertanyaan pertama.
Engkau?
Aku Haji Tingtong. Seorang ulama. Pemimpin Islam.
Aku tidak tanya nama, gelaran apatah lagi jawatan. Itu tidak penting. Semua itu hanya dunia. Ini akhirat.
Baik Tuhanku, jawab Haji Tingtong, sedikit tunduk kepala.
Apa engkau kerjakan di dunia?
Aku menyembah Engkau selalu. Tiada Tuhan disembah melainkan Engkau. Aku bermunajat tiap-tiap malam hanya untuk-Mu. Bibirku sentiasa basah dengan menyebut nama-Mu.
Lain?
Kali ini mesti Tuhan puas hati, fikir Haji Tingtong.
Aku berjuang semata-mata menegakkan ajaranMu. Islam mesti memimpin. Tiada agama selain Islam paling layak untuk-Mu. Islam satu-satunya agama kebenaran.
Malaysia?
Ya!
Ada sedikit sinar di mata Haji Tingtong. Riak wajahnya tampak riang. Dia yakin Tuhan tentu kenal dia. Mana tidaknya, tiap malam bibirnya tidak lekang memuji Tuhan. Tambahan lagi, sepenuh hidupnya untuk agama. Tuhan kenal dia. Pasti. Gerbang syurga mula terbayang-bayang.
Tuhan bertanya lagi.
Apa perjuangan engkau di sana? Padahal Tuhan sudah tahu. Saja Tuhan tanya.
Haji Tingtong laju menjawab. Tidak lain lagi mestilah menegakkan hukum-Mu ya Allah. Meletakkan ajaran-Mu ke tahap paling tinggi.
Contoh?
Menjaga identiti dan kedaulatan Malaysia sebagai negara Islam. Aku pertahankan sehabis jiwa ragaku. Sebarang usaha mencairkan identiti seperti ICERD, kami lawan. Apatah lagi mencabar kedudukan Islam, Melayu, dan Raja-raja. Hanya ada satu kata, lawan!
Lain?
Tuhanku, bahawasanya Malaysia itu wilayah Islam. Segala usaha melemahkan agenda Islam, kami tentang. Dalam apa jua situasi dan politik semasa apapun, sebarang dominasi selain Islam tidak boleh. Pemimpin mesti Melayu Islam. Dominasi politik umat Islam wajib dijaga dan dikembalikan.
Ini semua demi menjaga ketuanan syarak – menjadikan kehendak syarak sumber perundangan.
Lain?
Sebarang kerjasama dengan kelompok bukan Islam – memusuhi Islam langsung tidak boleh. Contohnya DAP. Parti kafir, ya Tuhanku. Umat Islam wajib wala’ kepada pemimpin Islam – teguh melawan kaum kuffar.
Lagi?
Kali ini Haji Tingtong musykil. Apakah belum cukup kuat hujah yang diberi? Bukankah aku layak terus ke syurga tanpa banyak bicara, Haji Tingtong bermonolog.
Mungkin Tuhan teruja. Lalu gembira. Dan banyak bertanya. Itulah alasan Haji Tingtong demi menyedapkan hati.
Wahai Tuhanku nan agung, rasa belum ada seteguh aku mempertahankan Islam. Sebab itu aku menyeru kepada semua badan, menteri, rakyat untuk bersama-sama mengangkat agenda Islam.
Institusi Islam mesti dikukuhkan sekaligus komited menjaga kepentingan umat Islam. Islam mesti diangkat. Kuasa politik sebagai penanda aras menjaga keberlangsungan agenda Islam.
Lain?
Haji Tingtong menggaru kepalanya. Masih lagi ada soalan walau jawapan panjang lebar diberi.
Ermm. Program dakwah Islam diperkasa. Dakwah Islam mesti dikuat kuasa. Sebarang dakwah agama lain kepada orang Islam tidak dibenarkan. Tindakan seperti sebar Bible kami kenakan hukuman. Yang penting dakwah kami kepada non-muslim makin rancak. Kalau mereka mahu sebarkan dakyah mereka, kami halang. Kami sekat.
Haji Tingtong menyambung hujah, untuk kukuhkan jawapan. Harap-harap ini jawapan terakhir.
Sebarang aktiviti sekular, liberal dan plural haram di Malaysia. Ajaran Syiah, Qadiyani pun tidak boleh. Sebarang promosi fahaman songsang dilarang sama sekali di Malaysia. Islam itu syumul. Tidak perlu ikut telunjuk Yahudi. Ini semua agenda Freemason.
Umat Islam mesti berhati-hati dengan campur tangan kuasa asing. Baik sumbangan dana, bantuan, latihan mahupun nasihat. Lebih-lebih lagi menyebar agenda songsang kepada pemikiran Islam di Malaysia. Pasti kami tidak reda!
Sunyi seketika. Barangkali sudah terakhir. Haji Tingtong terasa lega.
Malik! Ambil dia.
Terkejut beruk Haji Tingtongr. Masakan tidak? Nama Malik tidak pernah terlintas dalam fikirannya. Itu malaikat penjaga neraka. Yang difikirkan hanya Ridhwan, malaikat yang ditugaskan membawa manusia pilihan-Nya ke syurga.
Di dunia pun, Haji Tingtong jarang-jarang menyebut nama Malik. Disebut hanya untuk dituju kepada orang kafir bahawa itulah tempat mereka – neraka. Duduklah sama-sama kaum liberal – sesat. Sebaliknya kami yang perjuangkan Islam, hanya kenal syurga, hanya kenal Ridhwan. Itulah dambaan kami.
Keliru. Haji Tingtong berasa pelik dan tidak puas hati. Kenapa Malik dipanggil? Patutnya Ridhwan. Tuhan tersilap namakah?
Ketika diheret ke neraka, Haji Tingtong cuba-cuba berbisik kepada Malik. Apakah jawapan aku tadi tidak melayakkan ke syurga?
Walau tidak tahu fikiran Tuhan, Malik sebenarnya dapat mengagak.
Wahai Haji Tingtong.
Janganlah berlaku tidak adil kepada semua pihak. Bukankah jalan kebenaran ada banyak pintu. Jangan sempitkan ajaran Islam.
Perubahan bukanlah membuang akal kurniaan-Nya. Gunakanlah akal untuk membentuk atau menghadam pendekatan baru. Yang berubah bukan agama tetapi cara lihat, cara tafsir, cara faham demi menikmati indahnya beragama.
Allah tidak suka kamu banyak keterlaluan memuji-Nya. Tak ubah macam bodek. Haji Tingtong, Allah juga tidak suka hamba-Nya yang malas fikir dengan akal pemberian-Nya. Hinggakan umat ketinggalan dan tidak maju dalam beragama, gagal mencerap tafsiran mengikut tuntutan zaman.
Sesungguhnya kemuliaan pada pandangan Tuhan bukanlah kerana kamu ada haji, pakai serban, jubah, janggut lebat panjang, tempik “Hidup Islam”. Walau kamu berwajah pejuang Islam sekalipun.
Allah memandang umat dengan pandangan sama. Tidak ada kemuliaan di sisi Allah selain sebenar-benar takwa.
Takwa itu maknanya semua orang diberi keadilan yang saksama. Tidak menghapus kemanusiaan. Tidak zalim. Gigih lawan kemungkaran seperti rasuah, perkauman, penindasan dan 1MDB. Kalau abaikan, kamu sudah zalim.
Janganlah agenda liberal dan plural dipukalkan sebagai Freemason – jarum halus Zionis. Tuhan boleh berkati Freemason kalau-kalau ia boleh bantu kemanusiaan dan menolak diskriminasi.
Hampir di pintu neraka, Malik berhenti langkah. Memandang Haji Tingtong dan bertanya.
Apakah kamu berasa kamu lebih suci dan kamu paling Islam selama berada di dunia?
Haji Tingtong mengangguk lemah. – 29 November, 2018.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen