BIDAAN untuk kapal pesiar mewah Equanimity, yang diletakkan dalam lelongan selama sebulan, akan didedahkan petang ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Susulan tempoh lelongan yang akan berakhir pada 5 petang hari ini, Syerif Mahkamah Tinggi Malaya, Mohd Zamir Suhaimee akan mendedahkan bidaan dihantar oleh bakal pembeli. Ia akan menjadi pemilik kepada pembida dengan bidaan tertinggi yang sah.
Bilangan bidaan atau jumlah tidak boleh didedahkan, kata peguam Jeremy Joseph, yang mewakili 1Malaysia Development Bhd.
“Ia dipegang oleh syerif.”
Syerif juga memegang nota penilaian, yang menetapkan nilai diluluskan bagi kapal pesiar mewah itu. Kerajaan dijangka mempertimbangkan pilihan jualan lain jika semua bidaan lebih rendah daripada nota.
Bakal pembeli perlu meletakkan deposit sebanyak AS$1 juta (RM4.2 juta) setiap satu bagi melayakkan diri untuk membida.
Hasil jualan kapal pesiar itu, yang dirampas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla), akan diletakkan di dalam akaun amanah deposit tetap, kata Peguam Negara Tommy Thomas pada Ogos.
Bidaan menerima kebenaran Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur, yang mengisytiharkan kerajaan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah pemilik benefisiari, dan kerajaan bebas untuk menjual kapal pesiar itu.
Equanimity yang panjangnya 91.5m dibuka untuk jualan pada 27 Oktober selepas Malaysia mengambilnya daripada dari Indonesia, lokasi ia mula-mula dirampas sebagai sebahagian daripada operasi mendapatkan semula aset oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam siasatannya terhadap dana 1MDB yang dicuri.
Peguam mengharapkan “tiada masalah” akan timbul mengenai pemilikan kapal.
Agen jualan, broker kapal layar Burgess, berkata di laman webnya jualan melalui mahkamah akan memberikan pembeli dengan “pemilikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa tanpa gadai janji, lampiran dan semua bebanan”.
Kapal milik ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dibeli dengan pada harga AS$250 juta menggunakan dana berkaitan 1MDB pada 2014.
Putrajaya pada Jun mengeluarkan waran tangkap terhadap Low, yang dituduh menyeleweng berbilion ringgit daripada 1MDB. – 29 November, 2018.
Komen