PENGANUT Hindu di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman menerima skeptikal berita yang kerajaan Selangor sedang dalam proses menuntut kembali tanah itu dan menyerahkannya ke kuil.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight susulan insiden keganasan di kuil pada Isnin, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan supaya kerajaan negeri mengambil alih tanah itu dan menyerahkannya kepada pihak kuil.
Kebanyakan penganut berkata berita itu, jika disahkan, akan menjadi pengakhiran kepada perjuangan yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama dengan pemaju yang membeli tanah itu daripada kerajaan sebelumnya.
Bagaimanapun, ramai yang menyatakan keraguan rancangan itu akan menjadi realiti, dengan beberapa pihak mengkritik kerajaan kerana menunggu sehingga huru-hara dan keganasan berlaku sebelum bertindak.
Pada pagi Isnin, sekumpulan kira-kira 50 lelaki bertopeng menyerang kuil itu, membawa pergaduhan yang menyebabkan kerosakan harta benda dan kecederaan kepada ramai individu, termasuk seorang ahli bomba yang ketika ini dalam keadaan kritikal.
Periasamy Thiagaraj, yang menjadi mangsa serangan awal pagi itu, berkata kerajaan Selangor sepatutnya bertindak lebih awal berhubung pertikaian tanah itu daripada menunggu kejadian seperti itu berlaku.
“Ia tidak sepatutnya menjadi seperti ini. Memandangkan mereka terus menangguhkannya, masalah ini menjadi semakin buruk sejak kebelakangan ini.
“Nasib baik, tiada nyawa yang terkorban,” kata lelaki berusia 41 tahun itu.

Periasamy, yang menerima 10 jahitan di kepalanya selepas dipukul dalam serangan itu, juga berharap isu ini menjadi yang terakhir.
“Biarkan isu ini menjadi yang pertama dan terakhir. Pada masa akan datang jika terdapat isu yang sama, saya berharap pihak berkuasa berkaitan mengendalikannya dengan pantas,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 29 November, 2018.
Komen