HAKIM Perancis menolak gesaan mangsa yang selamat daripada aktiviti penghapusan etnik Rwanda bagi membuka semula penyiasatan terhadap tuduhan bahawa tentera Perancis bertanggungjawab di atas kematian ratusan orang.
Sumber yang dekat dengan kes itu berkata pada hari Rabu bahawa tiga hakim jenayah perang pada 22 November lalu menolak tawaran untuk membuka semula siasatan yang menjadi simbol luka parah antara Rwanda dan Perancis sepanjang aktiviti penyembelihan pada tahun 1994.
Enam mangsa yang terselamat dari kejadian buruk itu, disokong kumpulan hak asasi manusia dan beberapa plaintif lain.
Mereka melancarkan kes undang-undang pada tahun 2005 menuduh tentera Perancis meninggalkan orang awam Tutsi di Bisesero, yang terletak di barat Rwanda, pada bulan Jun 1994.
Siasatan itu ditutup pada bulan Julai kerana tiada seorang pun yang dikenakan pertuduhan dalam tempoh 13 tahun penyiasatan.
Mereka yang terselamat berkata tentera Perancis berjanji untuk menyelamatkan puak Tutsi yang berada dalam ketakutan di daerah perbukitan Bisesero ketika puncak aktiviti pembunuhan itu pada 27 Jun 1994.
Tentera tiba hanya tiga hari kemudian -selepas beratus-ratus orang dibunuh sekutu pemerintah daripada puak Hutu yang mendapat dukungan Paris selama bertahun-tahun.
Kematian demi kematian selama hampir tiga bulan pembunuhan menyebabkan kira-kira 800,000 orang mati, dan kebanyakan korban adalah daripada etnik Tutsi. – AFP, 28 November, 2018.
Komen