PEMIMPIN pembangkang Bangladesh yang dipenjarakan dihalang bertanding pada pilihan raya umum bulan depan bagi mencabar Perdana Menteri Sheikh Hasina, kata peguam negara itu hari ini.
Khaleda Zia kini dipenjarakan 10 tahun atas tuduhan rasuah tetapi penyokongnya, yang telah merayu terhadap pertuduhan tersebut, terpaksa berharap pemimpin berusia 73 tahun itu akan dibebaskan sebelum pilihan raya pada 30 Disember.
Bagaimanapun, Mahkamah Agung pada hari Rabu mengumumkan keputusan mahkamah rendah bahawa tiada siapa yang pernah menjalani hukuman penjara lebih daripada dua tahun atau menunggu rayuan boleh bertanding pada pilihan raya akan datang.
Penyokong Zia tidak berjaya membuat rayuan itu di Mahkamah Tinggi pada hari Selasa.
“Berikutan penghakiman ini, beliau tidak boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya,” kata Peguam Negara Mahbubey Alam kepada AFP pada Rabu.
Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP), gerakan pembangkang yang dipimpin Zia dari dalam penjara, membantah keputusan mahkamah dan menyifatkan ia adalah “cerminan kemahuan kerajaan”.
“Keputusan ini tidak dapat diterima sama sekali, kami terkilan dan memprotesnya secara tegas,” kata Setiausaha Agung BNP Mirza Fakhrul Islam Alamgir.
Zia berharap untuk bertanding tiga kerusi parlimen walaupun dipenjarakan di Dhaka atas tuduhan rasuah disifatkan oleh BNP hanya rekaan semata-mata bagi menahan beliau daripada mencabar Hasina. – AFP, 28 November, 2018.
Komen