Diskriminasi golongan kulit hitam di Eropah masih berleluasa


Golongan kulit hitam di negara anggota Kesatuan Eropah masih didiskriminasi dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan dan perumahan. – Gambar fail AFP, 28 November, 2018.

GOLONGAN kulit hitam di negara anggota Kesatuan Eropah (EU) terus berdepan isu prejudis, gangguan perkauman dan serangan di kebanyakan lokasi, kata satu laporan yang disiarkan hari ini.

“Isu perkauman berasaskan warna kulit masih berleluasa di seluruh negara anggota EU,” kata Pengarah Agensi Hak Asasi (FRA) EU, Michael O’Flaherty memetik laporan yang dikeluarkan.

Laporan bertajuk “Being Black in the EU” (Menjadi Orang Kulit Hitam di EU”, dibuat berdasarkan temu bual antara 2015 dan 2016 dengan melibatkan lebih 5,800 orang di 12 negara EU.

30% responden berkata mereka mengalami gangguan perkauman dalam tempoh lima tahun sebelum tinjauan itu dijalankan.

Sebanyak 5% responden mengalami serangan ganas. Antara mereka mendakwa dalang serangan dilakukan oleh penguatkuasa undang-undang.

Dalam semua kes serangan ganas, lebih 60% responden tidak melaporkan kejadian yang dialami dengan alasan mereka tidak percaya kepada pihak polis kerana tiada tindakan akan diambil.

Laporan itu juga mendedahkan pengalaman responden yang sering ditahan polis.

Agensi itu berkata gangguan perkauman merupakan amalan yang melanggar undang-undang dan menyebabkan hilang kepercayaan pelaksanaan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Awal bulan ini di Britain, ketua polis mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan perluasan bidang kuasa ‘tahan dan cari’ yang sering disalahguna untuk mengganggu golongan kulit hitam.

Laporan FRA itu turut mendedahkan diskriminasi yang berlaku dalam sektor pendidikan, pekerjaan dan perumahan apabila responden memaklumkan mereka berdepan layanan tidak adil sejak lima tahun lalu.

Sebagai contoh, 14% responden berkata mereka dihalang untuk menyewa kemudahan di kawasan persendirian disebabkan asal usul kaum dan etnik mereka.

FRA menggesa kerajaan untuk menangani isu diskriminasi dan perkauman yang dilakukan oleh polis, dan memastikan aduan mangsa diberikan perhatian. – AFP, 28 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen