HAMPIR 100 orang Islam Rohingya dipaksa kembali ke negeri Rakhine di Myanmar selepas mereka yang menaiki bot ditahan ketika dalam perjalanan ke Malaysia, kata polis semalam.
Kenyataan terbaru polis itu mengundang kebimbangan mengenai krisis bot pelarian yang baru.
Tiga bot yang membawa pelarian Rohingya itu kini telah dirampas dan dibawa kembali ke Rakhine dalam tempoh dua minggu lalu, memandangkan musim tengkujuh masih membolehkan pelayaran, walaupun berbahaya.
Semua pelarian yang berada di atas ketiga-tiga kapal dikembalikan ke kem di sekitar ibu kota Sittwe, di mana lebih daripada 120,000 orang dikurung sejak keganasan antara kaum bermula pada tahun 2012.
Foto di media tempatan menunjukkan kumpulan itu berkumpul di dek bot, satu suasana yang mengingatkan krisis bot pada tahun 2015 yang menyaksikan banyak pelarian Rohingya ditinggalkan oleh penyeludup di Laut Andaman selepas pihak berkuasa menutup laluan.
Mereka sedang menuju ke Malaysia ketika dihentikan pegawai tentera pada malam Ahad di bandar selatan Dawei, beritahu Min Lwin, seorang mejar polis, kepada AFP.
“Mereka semua dihantar kembali ke Sittwe dengan kapal tentera laut malam tadi,” katanya, di samping menambah bahawa, dua pertiga daripada kumpulan tersebut berusia di bawah 18 tahun, dan akan tiba pada hari Khamis atau Jumaat.
Nasib orang-orang Islam Rohingya yang menderita di bahagian tengah negara itu menyaksikan penghijrahan besar pada tahun lalu melibatkan lebih daripada 720,000 orang Rohingya dari utara Rakhine.
Mereka melarikan diri ke sempadan memasuki Bangladesh ekoran tindakan keras dan ganas pihak ketenteraan Myanmar. – AFP, 28 November, 2018.
Komen