Kerajaan negeri akan ambil alih tanah kuil, kata sumber


K. Kabilan

Ramai penganut Hindu datang ke kuil berusia 147 tahun itu untuk menunjukkan sokongan kepada jawatankuasa kuil, yang berdepan masalah undang-undang dengan pemaju. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 November, 2018.

SELANGOR akan mengambil-alih tanah yang menjadi pertikaian di Subang Jaya dan menyerahkannya kepada pihak kuil Sri Maha Mariamman, kata sumber kerajaan hari ini.

Menurut sumber, arahan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Menteri Besar Selangor Amirudin Shari juga bersetuju dengan keputusan itu selepas dimaklumkan berhubung arahan tersebut. 

“Menteri besar akan membuat pengumuman esok. Tanah itu akan diberikan kepada pihak kuil. Ia akan diambil alih demi kepentingan awam,” kata sumber itu.

“Oleh itu, kuil berkenaan tidak akan dipindah dan kekal di lokasi yang sama.”

Kerajaan negeri dijangka membayar pampasan kepada pemaju bagi urusan pengambilalihan tanah tersebut. 

Menurut sumber itu lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dan Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran bertemu dengan Dr Mahathir selepas melawat kuil semalam.

“Perdana menteri mahu mengetahui perkembangan isu kuil itu. Selepas dimaklumkan, beliau memberi menteri tersebut untuk menangani kebimbangan rakyat dengan segera,” kata sumber.

Sumber itu berkata, perdana menteri kemudiannya bersetuju tanah tersebut diambil-alih oleh kerajaan negeri dan diberikan kepada pihak kuil.

Susulan itu, Waytha, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah dan exco kerajaan negeri V Ganabatirau bertemua Amirudin hari ini dan menyatakan keputusan perdana menteri memandangkan isu kuil itu merupakan urusan kerajaan negeri.

“Menteri besar bersetuju dan akan membuat pengumuman esok.”

Sementara itu Amirudin berkata beliau akan mengadakan sidang media di Dewan Annexe Negeri Selangor pukul 1 petang esok untuk mengumumkan penyelesaian yang dicapai hasil pertemuan kerajaan negeri hari ini.

“Kerajaan negeri Selangor komited untuk mendaulatkan undang-undang dan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa akan mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi isu ini,” katanya dalam satu kenyataan. 

Semalam, Waytha memaklumkan kepada penganut kuil itu bahawa isu tersebut akan dibawa kepada perdana menteri.

“Kerajan persekutuan memberi jaminan kuil itu tidak akan dirobohkan selagi isu berkenaan tidak diselesaikan dengan baik.

“Kita akan membincangkan perkara ini di peringkat tertinggi, begitu juga dengan Peguam Negara dan Menteri Besar Selangor,” katanya.

Isu pertikaian kuil itu menjadi tumpuan umum sejak Isnin selepas sekumpulan lelaki bertopeng menyerang rumah ibadat tersebut pada awal api dengan tujuan memusnahkannya, tetapi dihalang oleh penganut kuil itu.

Syarikat pemaju One City Development, yang membeli tanah itu pada 2007, menafikan mengupah samseng untuk mengganggu penganut di situ. – 28 November, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen