Bilionair Australia labur RM302 juta buka institut kewartawanan


Judith Neilson memiliki kekayaan kira-kira AS$1.1 bilion (RM4.4 bilion) berdasarkan laporan majalah Forbes. – Gambar Twitter, 28 November, 2018.

SEORANG bilionair Australia sedia menghabiskan dana sekurang-kurangnya AS$72 juta (RM302 juta) untuk mewujudkan institut kewartawanan bagi memastikan kebenaran sentiasa ditegakkan.

Judith Neilson berkata institut yang beribu pejabat di Sydney itu akan menggalakkan dan menyokong kualiti kewartawanan di Australia dan dunia ketika industri itu berdepan perubahan serta cabaran.

“Kewartawanan tidak sekadar memerlukan kritikan tetapi juga jaguh iaitu orang ramai dan institusi yang mampu mendidik, menggalakkan dan menghubungkan wartawan dengan pembaca dengan lebih berkualiti,” katanya.

Wanita kelahiran Zimbabwe itu berkata Institut Kewartanan dan Idea Judith Neilson akan menjalankan program pendidikan dan menyediakan pembangunan laporan yang bebas.

Neilson berkata satu daripada keutamaan institut itu apabila dilancarkan secara rasmi pada 2019 adalah menyokong maklumat laporan di Asia.

Pertubuhan berita di Australia berdepan cabaran sukar sejak beberapa tahun lalu ekoran penurunan pendapatan dan pengurangan staf susulan syarikat gergasi Internet seperti Google dan Facebook mendominasi ekonomi digital.

Pengumuman Neilson itu dibuat beberapa hari selepas sebuah mahkamah Australia memberi kelulusan untuk melaksanakan penggabungkan pemain media di negara itu.

Keputusan itu ternyata mengundang kebimbangan terhadap masa depan industri media yang lebih bebas.

Berdasarkan keputusan mahkamah itu, syarikat televisyen Nine Entertainment akan mengambil-alih syarikat akhbar tertua Australia Fairfax Media, sekali gus bakal menyaksikan jumlah staf di bilik berita dikurangkan.

Penggabungan itu menyaksikan hanya empat syarikat media utama masih beroperasi di Australia, didominasi oleh News Corp milik Rupert Murdoch.

Neilson memiliki kekayaan kira-kira AS$1.1 bilion (RM4.4 bilion) berdasarkan laporan majalah Forbes. – AFP, 28 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen