Trump ancam batal pertemuan dengan Putin


PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan akan mempertimbangkan untuk membatalkan pertemuannya dengan rakan sejawatan Vladimir Putin, berikutan pertikaian antara Ukraine-Rusia berhampiran Selat Kerch.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan balas dari Rusia berhubung kenyataan Trump, namun Moscow mengatakan aktiviti di rantau itu adalah sah, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam temu bual dengan The Washington Post di Rumah Putih pada Selasa, presiden AS itu berkata, beliau sedang menunggu laporan penuh dari pasukan keselamatan negara mengenai tindakan tentera Rusia menahan tiga kapal tentera laut Ukraine dan anak kapal di Laut Hitam pada Ahad.

“Ia akan menjadi penentu. Mungkin, saya tidak akan mengadakan pertemuan itu…Saya tidak suka pencerobohan,” ujar Trump.

Sebelum wawancara itu disiarkan, Penasihat Keselamatan AS John Bolton berkata pada taklimat media Rumah Putih, bahawa semasa lawatan Trump di Argentina pemimpin itu akan bertemu dengan beberapa pemimpin asing termasuk Putin.

Pada awal tahun ini, Rusia merasmikan jambatan di Selat Kerch, yang menghubungkan Semenanjung Crimea ke tanah besar Rusia, dan mula menjalankan pemeriksaan terhadap kapal komersial yang berlayar melalui Laut Azov dan Selat Kerch.

Tentera Laut Ukraine pada Ahad mendakwa tentera Rusia melepaskan tembakan dan merampas tiga kapal Ukraine berhampiran selat itu, enam anak kapal tentera Ukraine turut cedera, dua daripadanya serius. 

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) berkata, tiga kapal Ukraine Berdyansk, Nikopol dan Yany Kapu, melanggar sempadan Rusia dan melakukan pergerakan berbahaya walaupun telah diberi amaran oleh kapal FSB dan kapal Rusia di  Laut Hitam. 

Ekoran pertikaian yang semakin memuncak itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin memanggil diadakan mesyuarat tergempar. – Bernama, 28 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen