Saman Deepak tuntut RM53 juta daripada Najib, Rosmah dipindah ke bahagian sivil


Bede Hong

Peguam Deepak Jaikishan, Irzan Iswatt berkata hakim bersetuju memindahkan kes itu daripada bahagian jenayah komersial ke bahagian sivil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 November, 2018.

SAMAN RM52.6 juta difailkan peniaga karpet kontroversi Deepak Jaikishan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan kegagalan urus niaga 80 unit kondominium akan didengar di Bahagian Sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Nantha Balan E S Moorthy bersetuju untuk kes itu dipindahkan ke sana daripada Bahagian Jenayah Komersial mahkamah selepas pendengaran dalam kamar pagi tadi.

Deepak turut menarik balik permohonannya untuk memindahkan dan menggabungkan saman ini dengan satu lagi saman terhadap Bank Rakyat di Mahkamah Muamalat, kata peguamnya Irzan Iswatt.

Hakim Nantha bersetuju membatalkan permohonan itu.

Masih tiada tarikh bicara ditetapkan lagi, kata Irzan kepada The Malaysian Insight.

Adik lelaki Deepak, Rajesh Jaikishian dan syarikatnya, Radiant Splendour Sdn Bhd menyaman Najib dan isteri, Rosmah Mansor kerana subahat, penipuan dan salah guna proses dan menuntut ganti rugi RM52.6 juta.

Plaintif mendakwa mereka terpaksa melakukan pinjaman Bank Rakyat sebanyak RM198 juta bagi pihak Najib dan Rosmah pada 2008 dan menggunakan pemilikan tunggal 80 unit kondominium di Kuala Lumpur untuk membuat pinjaman tersebut.  

Masalah timbul pada 2013 apabila adik beradik itu terpaksa membuat perjanjian penyelesaian dengan Bank Rakyat kerana gagal membayar pinjaman.

Deepak, adiknya dan syarikat mereka juga menamakan adik Najib, Ahmad Johari Abdul Razak, bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas pengerusi Bank Rakyat Shukry Mohd Salleh sebagai defendan dalam saman itu yang difailkan 12 September lalu.

Plantif berkata kegagalan pembayaran balik pinjaman menyebabkan Johari dan syarikatnya dilantik untuk menjual unit kondominium itu pada 2014.

Peguam Dhinesh Bhaskaran dan Serena Azizudin mewakili Najib, Rosmah dan Johari hari ini. Manakala, Prem Ramachandran mewakili Azeez dan Jagjit Kaur mewakili Shukry. – 28 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen