Gelandangan miskin bandar satu bencana baharu


Zainal Rashid Ahmad

LEBIH 50% penerima bantuan makanan di pinggir jalan sekitar Chow Kit adalah golongan miskin bandar yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Ini satu kejutan. Jalan Chow Kit yang dulunya terkenal sebagai sarang pelacuran dan penagihan dadah, kini jadi tumpuan warga miskin sekitar pusat bandar.

Justeru, projek amal mengedarkan bantuan makanan anjuran pelbagai badan masyarakat sejak dua dekad lalu, bukan lagi menyasarkan gelandangan, penagih dadah, pekerja seks mahu pun pesakit mental.

Projek amal itu kini mengalami perubahan demografi sosial yang drastik. Penerima bantuan makanan sekarang, majoritinya warga miskin bandar.

Malah, puluhan kanak-kanak berkeliaran di sekitar lokasi edaran makanan seawal 8 malam. Mereka berbaris untuk mendapatkan bantuan yang diedarkan pelbagai NGO. Pada masa ini, laman berdepan CIMB Jalan Chow Kit dijadikan lokasi utama program edaran bantuan makanan.

Kanak-kanak berusia enam hingga 15 tahun juga akan berkerumun di lokasi ini untuk mengumpulkan sebanyak mungkin makanan yang diedarkan untuk dibawa pulang ke rumah.

“Kami ambil makanan seberapa yang ada untuk makan malam. Baki disimpan untuk sarapan pagi,” kata seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dari PPR Sentul.

“Pada 2012 ketika memulakan projek edaran makanan pada setiap Khamis malam, 80% penerima ialah gelandangan, termasuk penagih dadah dan pekerja seks, ” kata Aniza Mehboob Shah, aktivis Laskar4Live.

Jumlah kanak-kanak berkeliaran di Chow kIt sesuatu yang sangat membimbangkan dan kebanyakannya tinggal di perumahan PPR berhampiran. – Gambar The Malaysian Insight, 28 November, 2018.

NGO yang berpusat di Jalan Abdul Rahman Idris, Kampung Baru ini didukung peniaga barangan terpakai di sekitar Kampung Baru. Laskar4Life mengedarkan antara 200 hingga 800 bungkus makanan mengikut jumlah sumbangan tunai yang didermakan ahli setiap minggu.

“Baki 20% biasanya ialah musafir yang menumpang tidur di sekitar Masjid Negara dan Masjid Kampung Baru,” katanya.

Namun, sejak Ramadan 2017, trend penerima bantuan projek amal ini mulai berubah. Meskipun, gelandangan masih menjadi fokus utama projek ini, namun kemunculan penerima bantuan makanan daripada keluarga miskin bandar penghuni PPR satu fenomena yang sangat mengejutkan.

“Mereka berkumpul di sekitar kawasan CIMB sebagai pusat menerima agihan bantuan. Kami terkejut kerana majoriti penerima ialah keluarga B40 yang mencari bekalan untuk makan malam, ” kata Anizah.

Laskar4Life dan NGO Aku Anak Chow Kit turut aktif membantu menganjurkan pelbagai kerja amal untuk pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di Kampung Baru.

Enam tahun lalu, bekalan 800 bungkusan makanan cukup untuk diedarkan pada gelandangan sekitar Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman, Masjid India, Masjid Negara, Bangkok Bank sampai ke sekitar Pudu Raya dan Menara Maybank.

“Sekarang, 500 bungkusan akan habis sekelip mata saja di sekitar Chow Kit. Ini kerana selain penagih dadah dan pekerja seks, warga miskin bandar datang beramai-ramai dari sekitar PPR Sentul, Kampung Baru dan Titiwangsa berkumpul di kawasan ini,” kata Anizah.

Laskar4Life menyediakan dana sekitar RM500 hingga RM1,000 bagi setiap projek edaran makanan.

“Kami juga menyediakan sabun mandi, tuala kecil serta berus dan ubat gigi bagi gelandangan dan penagih dadah yang memerlukan, ” katanya.

Sepanjang Ramadan lalu, terdapat lebih 20 kumpulan aktivis sosial pelbagai institusi menganjurkan kempen derma baju di kawasan Charity Zone Chow Kit ini. Pakaian terpakai diedarkan bersama makanan bersahur.

“Lebih 70% penerima bantuan pakaian adalah warga miskin bandar dari PPR. Malah, ada yang mengutip pakaian terpakai yang didermakan dan dijual semula di kawasan PPR untuk mendapatkan wang tunai,” kata Anizah.

Penderma pakaian pula tidak menghalang perbuatan ini kerana menerima hakikat, usaha menjual semula pakaian yang didermakan satu tindakan terdesak warga miskin bandar demi mencari wang tambahan bagi keperluan hidup.

“Kita terima hakikat, mereka berusaha dan menjadikan peluang ini sebagai cara menjana ekonomi menjelang keperluan berhari raya, ” katanya.

Hingga kini, pelbagai NGO aktif di sekitar Chow Kit. Hampir setiap malam muncul NGO dengan program bantuan makanan, perubatan, pakaian dan kaunseling motivasi.

“Cuma meningkatnya angka kanak-kanak berkeliaran kawasan ini sesuatu yang sangat membimbangkan. Ada yang tidak bersekolah dan ada yang datang tanpa ibu bapa semata-mata untuk mendapatkan sesuap nasi, ” kata Anizah.

NGO akan terus mengaturkan pelbagai program. Namun, kata Anizah sudah sampai masanya fenomena miskin bandar dan gejala kanak-kanak berkeliaran mencari makanan hingga lewat malam dipantau.

“Mereka terdedah pada pelbagai manipulasi jenayah. Kawasan ini tidak selamat, ” kata Anizah. – 28 November, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen